KUALA LUMPUR 17 Julai - Searah (Malaysia) Sdn. Bhd., entiti operasi tempatan milik Searah Limited, secara rasmi memulakan operasinya sebagai pengendali huluan di Malaysia selepas berjaya mengambil alih peranan pengendali daripada PETRONAS Carigali Sdn. Bhd, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pengembangan syarikat di negara ini.
Syarikat itu berkata, pengambilalihan tersebut berkuat kuasa pada 1 Julai 2026, selepas semua syarat terdahulu bagi pemindahan pengendalian beberapa Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) utama di Malaysia berjaya dipenuhi.
Menurut syarikat itu lagi, proses itu merupakan kemuncak kepada program integrasi yang dilaksanakan selama beberapa bulan, melibatkan pasukan daripada pelbagai fungsi dan disiplin yang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan, rakan kongsi serta pihak berkuasa bagi memastikan peralihan operasi berjalan lancar.
"Peralihan ini meletakkan Searah (Malaysia) sebagai pengendali kepada lima aset huluan utama di Malaysia, yang membentuk sebahagian daripada portfolio serantau Searah Limited melibatkan 19 aset di Malaysia dan Indonesia.
"Kehadiran ini mengukuhkan peranan Searah (Malaysia) dalam memastikan kesinambungan operasi minyak dan gas di rantau ini, di samping menyumbang kepada keselamatan tenaga Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Searah (Malaysia), Mohd Johan Ariff Mohd Supian, berkata permulaan operasi itu mencerminkan hasil perancangan, integrasi dan kerjasama intensif yang telah dilaksanakan sepanjang beberapa bulan lalu.
"Seiring kami melangkah ke hadapan, tumpuan kami kekal untuk memastikan operasi dijalankan secara selamat dan boleh dipercayai, mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan serta membina asas yang kukuh bagi pertumbuhan masa depan Searah," katanya.
Usaha Sama 50:50 Antara PETRONAS dan Eni
Searah Limited merupakan syarikat usaha sama 50:50 antara PETRONAS dan Eni, yang menggabungkan aset-aset huluan terpilih melibatkan pengeluaran dan pembangunan gas di Malaysia dan Indonesia.
Beroperasi sebagai sebuah entiti bebas, Searah memiliki portfolio 19 aset, terdiri daripada lima aset di Malaysia dan 14 aset di Indonesia, yang ditubuhkan bagi memperkukuh nilai portfolio, menyokong pembangunan tenaga mampan serta meningkatkan keselamatan tenaga serantau.
Di Malaysia, Searah beroperasi menerusi Searah (Malaysia) Sdn. Bhd., yang menguruskan aset-aset huluan terpilih di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, di samping menyokong pembangunan berterusan sektor tenaga negara. - DagangNews.com








