KUALA LUMPUR 17 Julai - Kerajaan memandang serius setiap dakwaan melibatkan isu mafia korporat yang boleh menjejaskan integriti serta keyakinan terhadap institusi awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata proses siasatan yang sedang dijalankan perlu diberikan ruang untuk dilaksanakan secara bebas, telus dan menyeluruh mengikut lunas undang-undang serta prosedur ditetapkan.
"Kerajaan yakin sebarang tindakan susulan hendaklah berpandukan kepada hasil siasatan tersebut bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berasaskan fakta, keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Azalina menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status siasatan kes 'mafia korporat' dan cadangan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berkenaan.
Beliau berkata penubuhan RCI di Malaysia tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Azalina berkata berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa, proses penubuhan RCI bermula dengan penyediaan Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju bagi menangani sesuatu isu berkepentingan awam yang serius.
"Setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, Perdana Menteri akan menyembah maklum cadangan tersebut untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Beliau berkata sekiranya diperkenankan, penubuhan RCI akan melibatkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan yang dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum suruhanjaya itu memulakan fungsinya.
Azalina berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan RCI atau apa jua mekanisme lain yang bersesuaian sekiranya didapati perlu demi kepentingan awam.
"Sebarang pertimbangan berhubung cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat isu mafia korporat dan perkara-perkara berkaitan akan dibuat berdasarkan proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
"Ia mengambil kira fakta, dapatan serta perkembangan semasa hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya. - BERNAMA








