KUALA LUMPUR 17 Julai — Majoriti pemegang saham Sapura Resources Berhad mengekalkan Tan Sri Shahril Shamsuddin sebagai Pengarah syarikat itu selepas meluluskan resolusi pemilihan semula.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-69, Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif kumpulan tersebut memperoleh sokongan hampir sebulat suara daripada 538 pemegang saham berbanding 54 yang menolak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, penerimaan besar tersebut mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kepimpinan beliau dalam menerajui hala tuju strategik kumpulan.
"Pemegang saham meluluskan pemilihan semula Shahril yang bersara mengikut giliran selaras dengan Klausa 116 Perlembagaan Syarikat dan menawarkan diri untuk dipilih semula," kata Sapura Resources.
Resolusi tersebut menerima sokongan kira-kira 99.974% mewakili sebanyak 181.44 juta saham mengundi menyokong, manakala hanya sejumlah 47,163 saham atau bersama 0.026% yang mengundi menentang.
Shahril, 65, yang merupakan tokoh korporat berpengalaman negara, mengasaskan Sapura Energy Berhad pada pertengahan 1990-an bermula sebagai kontraktor kepada syarikat minyak dan gas (O&G) global.

Selain itu jelasnya, pemegang saham turut meluluskan Resolusi Biasa 5 bagi memilih semula Ketua Pegawai Eksekutif, Reza Abdul Rahim sebagai anggota pengarah syarikat dengan meraih sokongan 99.9844%.
Sapura Resources berkata, semua tujuh resolusi dibentangkan pada AGM yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut diluluskan majoriti menerusi proses pengundian secara telus.
"Antaranya pemegang saham meluluskan pembayaran yuran pengarah-pengarah yang berjumlah RM544,900 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Januari 2026 menerusi Resolusi Biasa 1," ujar kumpulan itu.
Pemegang saham turut bersetuju melantik semula Ernst & Young PLT sebagai juruaudit luar syarikat hingga tamat AGM seterusnya, selain memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah bagi menetapkan imbuhan.
Dalam perkembangan lain, pemegang saham turut meluluskan Resolusi Biasa 7 bagi Lembaga Pengarah Sapura Resources dapat memperuntukkan saham baharu menurut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016.
Usul berkenaan menerima sokongan 99.9796% daripada pemegang saham, menunjukkan keyakinan tinggi terhadap fleksibiliti syarikat mendapatkan modal jika diperlukan bagi tujuan korporat.
Keputusan semua resolusi disahkan SKY Corporate Services Sdn Bhd yang dilantik sebagai pemeriksa bebas bagi memuktamadkan keputusan pengundian tersebut. - DagangNews.com








