Inflasi Malaysia meningkat 1.9% pada Jun dengan pengangkutan kekal penyumbang utama - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia meningkat 1.9% pada Jun dengan pengangkutan kekal penyumbang utama - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Inflasi Malaysia meningkat 1.9% pada Jun 2026 berbanding 2% bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh kenaikan harga dalam kumpulan Pengangkutan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.1 mata berbanding 134.5 mata pada Jun 2025. 

 

Kumpulan Pengangkutan merekodkan inflasi 2.8% pada Jun, lebih rendah berbanding 3.8% pada Mei, namun kekal menjadi penyumbang utama kepada peningkatan inflasi keseluruhan.

 

Pada masa sama, DOSM berkata kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 5.7% berbanding 4.9% pada Mei. 

 

Kumpulan Restoran & Perkhidmatan Penginapan turut meningkat kepada 2.6% daripada 2.5%, manakala Maklumat & Komunikasi naik kepada 2.4% daripada 2.1% dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain meningkat kepada 1.4% berbanding 1.2%.

 

Beberapa Kumpulan Catat Kenaikan Lebih Perlahan

Walaupun inflasi keseluruhan kekal meningkat, beberapa kumpulan menunjukkan pertumbuhan harga yang lebih sederhana berbanding bulan sebelumnya. 

 

Antaranya ialah Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan yang meningkat 3.4% berbanding 4.8% pada Mei.

 

Kumpulan Pendidikan turut merekodkan peningkatan lebih perlahan kepada 2.1% berbanding 2.2% pada bulan sebelumnya, sekali gus membantu mengehadkan tekanan inflasi keseluruhan.

 

Perkembangan itu menunjukkan kenaikan harga masih berlaku dalam kebanyakan kategori perbelanjaan pengguna, namun kadar pertumbuhannya semakin sederhana bagi beberapa kumpulan utama.

 

Tujuh Negeri Melepasi Kadar Inflasi Nasional

Di peringkat negeri, tujuh negeri merekodkan kadar inflasi melebihi paras nasional 1.9%, dengan Pahang mencatatkan kadar tertinggi sebanyak 2.6%.

 

Johor dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan inflasi 2.5%, diikuti Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 2.3% dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2.2%.

 

Sementara itu, Kedah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya masing-masing mencatatkan kadar inflasi 2%. Semua negeri merekodkan peningkatan inflasi bagi kumpulan Makanan & Minuman kecuali Kelantan yang mencatatkan penurunan 0.7%.

 

Inflasi Bulanan Kekal Mendatar Pada Jun

Bagi perbandingan bulan ke bulan, inflasi keseluruhan pada Jun 2026 kekal tidak berubah berbanding Mei selepas hanya meningkat 0.1% pada bulan sebelumnya.

 

Kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan mencatatkan peningkatan bulanan sebanyak 0.8%, manakala Makanan & Minuman serta Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain masing-masing meningkat 0.2%.

 

Restoran & Perkhidmatan Penginapan pula naik 0.1%, sementara Rekreasi, Sukan & Kebudayaan serta Pendidikan kekal tidak berubah.

 

Sebaliknya, kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan mencatatkan penurunan 0.9%, diikuti Pengangkutan yang susut 0.8%. 

 

Kumpulan Pakaian & Kasut, Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah, Kesihatan serta Maklumat & Komunikasi pula tidak merekodkan sebarang perubahan.

 

Bagi suku kedua 2026, inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9% berbanding 1.6% pada suku pertama. Peningkatan itu dipacu oleh kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan, Pengangkutan, Minuman Alkohol & Tembakau, Maklumat & Komunikasi, Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain, Rekreasi, Sukan & Kebudayaan serta Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah. 

 

Bagaimanapun, kenaikan harga yang lebih sederhana bagi kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan, Restoran & Perkhidmatan Penginapan, Pendidikan serta Kesihatan sedikit sebanyak membantu meredakan tekanan inflasi keseluruhan. - DagangNews.com