KUALA LUMPUR 5 Mac – Tourism Kelantan melalui wakil rasminya di Internationale Tourismus-Börse (ITB) Berlin 2026, Inspire Travel Malaysia Sdn Bhd memeterai kontrak pelancongan dua hala bernilai RM2.3 juta dengan syarikat dari Jepun, Topview Holiday Japan Co. Ltd.
Kerjasama ini adalah langkah strategik Negeri Kelantan untuk memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan ekologi di Asia Tenggara.
Topview Holiday Japan Co. Ltd merupakan peneraju industri pelancongan Jepun dengan pengalaman 32 tahun menguruskan pelancong ke destinasi Asia dan antarabangsa.
Melalui perjanjian ini, Negeri Kelantan memberi tumpuan kepada promosi pelancongan ecotourism di Dabong dan Jeli, kawasan yang masih kurang diterokai tetapi mempunyai potensi besar bagi pasaran Jepun dan Eropah.
Pengarah Tourism Kelantan, Mohd Azwan Ab Rahman berkata Dabong dan Jeli menawarkan pengalaman alam semula jadi yang tulen, dengan flora dan fauna unik serta jarang ditemui.
“Kawasan ini juga menempatkan Air Terjun Gunung Stong, antara ‘permata tersembunyi’ yang semakin mendapat perhatian pelancong luar negara.
“Produk pelancongan yang ditawarkan dijangka menarik minat pelancong yang mencari pengalaman alam semula jadi yang eksklusif dan kurang komersial.
“Langkah ini selari dengan usaha Kelantan untuk mempelbagaikan tarikan pelancongan selain pusat bandar dan pantai,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor pula berkata polarisasi pelancongan dijangka berubah buat sementara berikutan krisis di Timur Tengah.
“Pelancong dari Eropah, Jepun, Australia dan New Zealand kini lebih cenderung memilih Malaysia sebagai destinasi utama.
“Peluang ini harus dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Kelantan dalam sektor pelancongan alam semula jadi. Ini masa terbaik untuk mempromosikan produk eko pelancongan Kelantan secara lebih agresif,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Topview Holiday Japan Co. Ltd, Bill Cheng pula menyatakan komitmen penuh untuk membawa pelancong Jepun ke Kelantan susulan pembukaan fasiliti baharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang kini bersedia menerima ketibaan antarabangsa.
Sasaran syarikat itu adalah membawa kumpulan pertama pelancong Jepun pada akhir April 2026 dan menjangkakan sebanyak 2,300 pelancong akan tiba di Kelantan sepanjang tahun ini. - DagangNews.com








