TNB lantik Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad sebagai Presiden, CEO baharu berkuat kuasa 1 Mac 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB lantik Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad sebagai Presiden, CEO baharu berkuat kuasa 1 Mac 2026

Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad akan menyandang jawatan sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif baharu TNB berkuat kuasa 1 Mac 2026
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Mac 2026.

 

Beliau menggantikan Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 28 Februari 2026 selepas berkhidmat sebagai Presiden dan CEO sejak Mac 2024.

 

Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB di mana beliau memainkan peranan penting dalam membentuk landskap kawal selia industri serta memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan bagi menyokong aspirasi jangka panjang TNB.

 

Dengan pengalaman perkhidmatan melebihi 37 tahun di TNB, beliau membawa kepimpinan yang luas merentasi pelbagai portfolio.

 

Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Pengarah Urusan TNB Fuel Sdn. Bhd. dan sebelum itu menerajui TNB Janamanjung Sdn. Bhd selama sedekad. 

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari North Carolina A&T State University, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Tenaga Nasional.

 

Lembaga Pengarah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Ir. Megat Jalaluddin atas kepimpinan dan sumbangannya dalam memperkukuh kecemerlangan operasi, daya tahan kewangan serta penciptaan nilai jangka panjang TNB. 

 

Di bawah kepimpinan beliau, TNB memperkukuh asas terasnya dengan mempercepatkan agenda Peralihan Tenaga bagi menyokong aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

Lembaga Pengarah mengucapkan tahniah kepada Datuk Ir. Ts. Shamsul atas pelantikan tersebut dan yakin bahawa pengetahuan institusi yang mendalam, kepakaran kawal selia serta pengalaman operasinya akan memastikan kesinambungan, memacu transformasi dan terus memperkukuh peranan TNB sebagai juara tenaga nasional Malaysia serta penyedia utama penyelesaian tenaga mampan di dalam dan luar negara.

 

Tenaga Nasional Berhad ([www.tnb.com.my](http://www.tnb.com.my)) ialah syarikat utiliti terkemuka Malaysia di Asia dengan kehadiran antarabangsa di United Kingdom (UK), Ireland, Australia, Turkiye, Arab Saudi, Kuwait, Pakistan dan Kemboja. 

 

Dalam ruang tenaga boleh baharu, TNB mempunyai jumlah portfolio kasar sebanyak 3.3 Gigawatt (GW) di Semenanjung Malaysia (termasuk 2.5GW hidro berskala besar) dan 1.3GW di UK, Ireland, Australia dan Turkiye, yang merangkumi aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.

 

Selain menjadi entiti utama penjanaan elektrik negara, TNB turut menghantar dan mengagihkan elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sehingga 31 Disember 2025, TNB membekalkan elektrik kepada lebih 11 juta pelanggan. - DagangNews.com