Tiga reban ayam musnah terbakar di Linggi, Farmiera beri jaminan operasi tidak terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga reban ayam musnah terbakar di Linggi, Farmiera beri jaminan operasi tidak terjejas

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 FebFarmiera Berhad mengesahkan berlaku insiden kebakaran di ladang ayam milik kumpulan itu di Lot 3633, Kampung Air Hitam, Linggi, Negeri Sembilan pada 14 Februari 2026.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kebakaran tersebut melibatkan tiga reban ayam dengan kapasiti gabungan kira-kira 100,000 ekor ayam pedaging bagi setiap kitaran.


Bagaimanapun jelas kumpulan itu yang disenaraikan di Pasaran ACE pada 12 November 2025, tiada ayam yang terjejas kerana belum ada lagi kemasukan stok baharu di semua reban pada waktu kejadian.


"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, manakala Lembaga Pengarah Farmiera menyatakan insiden itu dijangka tidak memberi kesan material terhadap operasi kumpulan," tambahnya lagi.

 

 

 

 

 


Pengurusan kumpulan berkenaan namun katanya, kini sedang menilai jumlah sebenar kerugian akibat kebakaran tersebut. Syarikat itu pada ketika ini, mengendalikan sejumlah 15 ladang ternakan.


Selain itu, ia bekerjasama dengan 44 ladang kontrak di Semenanjung Malaysia, disokong dua loji pemprosesan di Negeri Sembilan dan Perak, serta bakal membangunkan tiga lagi ladang induk baharu.


Menurut Farmiera, tiga reban yang terbakar itu memang mempunyai perlindungan insurans kebakaran dengan tuntutan berkaitan sedang diuruskan, manakala stok yang sedia ada dijamin masih mencukupi. 

 

 

 

 

 


"Bagi mengurangkan gangguan pengeluaran, kami akan mendapatkan khidmat penternak kontrak tambahan bagi memastikan jumlah kekurangan dapat diganti dan komitmen pasaran terus dipenuhi," jelasnya.


Syarikat berkenaan di samping itu akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan insiden kebakaran berkenaan. - DagangNews.com