Teo Seng mampu kekal prestasi pendapatan walaupun subsidi ditarik, disokong permintaan telur stabil - Mercury Securities  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teo Seng mampu kekal prestasi pendapatan walaupun subsidi ditarik, disokong permintaan telur stabil - Mercury Securities 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Mei — Teo Seng Capital Berhad dijangka mampu mengekalkan prestasi kumpulan dalam persekitaran pendapatan yang telah dinormalkan susulan penarikan subsidi kerajaan secara menyeluruh, disokong oleh permintaan telur yang stabil di Malaysia dan Singapura, kata Mercury Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan turut mendapat kelebihan daripada kestabilan nilai ringgit serta usaha mempelbagaikan perniagaan ke dalam produk hiliran bernilai lebih tinggi seperti mayonis telur, telur cecair dan telur rebus.

 

"Prestasi itu telah ditunjukkan melalui pertumbuhan pendapatan teras sebanyak 11.8 peratus tahun ke tahun, mencerminkan kekuatan asas perniagaan serta daya tahan operasi kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Mercury Securities menambah, kumpulan berkenaan turut melaksanakan pembelian kontrak hadapan berjumlah RM139,000 bagi melindungi operasi daripada turun naik harga makanan ternakan, susulan gangguan rantaian perkapalan global sehingga separuh pertama FY26.

 

Teo Seng mengumumkan prestasi kewangan secara tahun ke tahun (YoY), hasil meningkat 9.5% kepada RM184.6 juta, didorong oleh peningkatan kuantiti jualan telur serta permintaan lebih tinggi bagi produk kesihatan haiwan.

 

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan bersih kepada pemegang saham (PATAMI) masing-masing merosot 47.7% dan 63.9%, terutamanya disebabkan ketiadaan subsidi kerajaan yang menyebabkan PBT segmen penternakan ayam jatuh 62.2% kepada RM12.2 juta.

 

Sebaliknya, segmen perdagangan produk kesihatan haiwan mencatat pertumbuhan 44.4% kepada RM6.9 juta.

 

Selepas menolak kesan subsidi, pendapatan teras meningkat 11.8% daripada RM13.3 juta pada 3MFY25 kepada RM14.8 juta, menunjukkan pertumbuhan asas yang kukuh walaupun selepas penarikan subsidi menyeluruh.

 

Secara suku ke suku (QoQ), hasil keseluruhan susut 5.1%, dipengaruhi oleh harga jualan telur yang lebih rendah serta penurunan volum jualan telur.

 

Selepas keputusan diumumkan, Mercury Securities menyemak unjuran pendapatan FY26E dan FY27E sebanyak kira-kira 3 peratus, namun mengekalkan andaian margin kasar, sebelum cukai dan PATAMI masing-masing pada 37 peratus, 10 peratus dan 8 peratus.

 

Dari sudut penilaian, firma penyelidikan itu mengekalkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) pada 12 kali berdasarkan purata 10 tahun syarikat setara domestik seperti PWF dan LTKM, selepas pelarasan bagi mengecualikan pendapatan berkaitan subsidi antara FY22 hingga FY25.

 

Sehubungan itu, harga sasaran disemak kepada RM1.17 sesaham, meningkat 0.9 peratus berdasarkan EPS FY26E yang disemak kepada 9.7 sen, dengan saranan “BELI” dikekalkan. - DagangNews.com