Tender baharu projek TNB perluas segmen utiliti Steel Hawk, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tender baharu projek TNB perluas segmen utiliti Steel Hawk, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 OktSteel Hawk Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor utiliti negara apabila meraih lapan kontrak bernilai keseluruhan RM60.97 juta daripada Sega Elektrik Sdn Bhd.


Menurut TA Securities, kejayaan itu diraih melalui anak syarikatnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd bagi kerja bahagian pembangunan aset dan rangkaian pengagihan Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Tambah firma penyelidikan berkenaan, kontrak diperoleh itu turut memberi sumbangan awal kepada pendapatan tahun kewangan 2025 (FY25) yang mula beralih daripada sektor minyak dan gas (O&G).


"Ia juga menandakan peluasan keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kumpulan ini dalam segmen infrastruktur tenaga pula," jelasnya dalam satu nota kajian hari ini.


TA Securities menilai kontrak ini secara positif yang menyumbang lebih awal daripada jangkaan, berikutan sebahagian hasil akan mula diiktiraf seawal tempoh suku keempat tahun kewangan 2025.


Sebelum ini, firma tersebut menjangkakan kontrak baharu hanya akan memberi kesan ketara mulai FY26 dalam usaha Steel Hawk kurang memberi tumpuan besar kepada industri O&G yang semakin perlahan.


Dengan tender terkini itu, buku tempahan EPCC kumpulan berkenaan turut meningkat daripada RM94.8 juta kepada sebanyak RM155.8 juta, sekali gus menyokong unjuran pertumbuhan kumpulan bagi FY26.

 

Artikel berkaitan: Steel Hawk peroleh 8 subkontrak RM61 juta bagi kerja pemasangan kabel kuasa untuk TNB


"Projek tersebut dijangka mampu memberikan margin kasar sekitar 20% dan margin bersih kira-kira 10%, sejajar dengan pelbagai projek EPCC yang sedia ada dilaksanakannya," kata TA Securities.


Aliran kontrak yang konsisten tambahnya, mencerminkan rekod pelaksanaan projek semakin kukuh, selain mengesahkan strategi kepelbagaian syarikat daripada teras perniagaan O&G kepada utiliti.


Berikutan sumbangan awal daripada kontrak baharu itu, unjuran pendapatan FY25 disemak naik sebanyak 10.6%, dengan anggaran sekitar 17% daripada nilai kontrak iaitu kira-kira RM10 juta.


Hasil berkenaan jelas TA Securities, akan diiktiraf pada suku keempat 2025, dan tiada perubahan dibuat kepada unjuran FY26 hingga FY27 kerana pertambahan kontrak diambil kira dalam ramalan asal.


"Dari segi penilaian, kami kekal harga sasaran 31 sen, berasaskan 8.5 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 serta premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) iaitu 3%," katanya.


Bagaimanapun, selepas kenaikan harga saham baru-baru ini, firma penyelidikan itu menurunkan saranan daripada 'beli' kepada 'jual', memandangkan potensi kenaikan harga kini semakin terhad.


TA Securities menyimpulkan kontrak baharu di bawah projek TNB ini mengukuhkan kedudukan Steel Hawk dalam sektor tenaga, serta meningkatkan kepelbagaian pendapatan dan kestabilan aliran tunai.


Walaupun penilaian semasa dianggap mencukupi selepas kenaikan harga saham, ia percaya sebarang tambahan kontrak pada FY26 boleh menjadi pemangkin kenaikan seterusnya. - DagangNews.com