KUALA LUMPUR 6 Julai – Western Digital (WD), syarikat penyimpanan data dari Amerika Syarikat kini memperluaskan operasi di Sarawak dengan memperkenalkan teknologi baharu dikenali sebagai substrat kaca di kilang terbarunya di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya, Kuching.
Teknologi ini digunakan untuk meningkatkan keupayaan storan data supaya lebih besar, lebih stabil dan sesuai dengan keperluan sistem digital moden yang semakin bergantung kepada kecerdasan buatan (AI).
Menurut WD, penggunaan substrat kaca membolehkan data disimpan dengan lebih tahan lasak, termasuk dalam keadaan suhu tinggi, menjadikannya sesuai untuk pusat data berskala besar di seluruh dunia.
Sebelum ini, WD telah melabur sebanyak RM1.8 bilion untuk membangunkan kemudahan teknologi substrat kaca tersebut di Sarawak.
Selain pembangunan teknologi, WD turut memberi fokus kepada aspek kelestarian alam sekitar dengan menandatangani perjanjian Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) bersama Sarawak Energy Bhd (SEB) bagi menggunakan tenaga hidro sebagai sumber utama elektrik operasinya.
Melalui langkah ini, WD berjaya menggunakan 100 peratus tenaga boleh baharu untuk operasi di Sarawak dan mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara.
WD juga menetapkan sasaran untuk menggunakan tenaga bebas karbon sepenuhnya menjelang 2030, serta mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2032.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Operasi Global WD, Dr Chandramogan Anamirtham berkata inisiatif “New Horizons” mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi, kecemerlangan pembuatan dan pembangunan tenaga kerja.
Beliau berkata WD akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Sarawak bagi membangunkan bakat dalam bidang kecerdasan buatan, automasi dan pembuatan berteknologi tinggi.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Operasi Global, Vidyadhara Gubbi pula berkata pertumbuhan pesat kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan teknologi bersambung telah meningkatkan permintaan global terhadap penyelesaian storan data berteknologi tinggi.
Tambahnya, Sarawak kini memainkan peranan semakin penting dalam operasi global WD melalui pembangunan teknologi substrat kaca generasi baharu serta pelaburan berterusan dalam teknologi, pembangunan bakat dan pembuatan mampan.
Kilang baharu WD itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.
Beliau menyifatkan pelaburan itu sebagai langkah penting dalam perjalanan Sarawak menjadi negeri berteknologi tinggi.
Abang Johari berkata kehadiran WD membuktikan Sarawak kini semakin diiktiraf sebagai lokasi utama industri teknologi global, bukan sekadar pusat perindustrian biasa. - DagangNews.com








