Pengalaman luas MRCB dalam MRT2 dan LRT3 buka potensi raih kontrak rel berskala besar - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengalaman luas MRCB dalam MRT2 dan LRT3 buka potensi raih kontrak rel berskala besar - RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 Julai – Rekod pengalaman luas Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dalam melaksanakan projek rel utama negara dijangka membuka potensi lebih besar untuk syarikat tersebut.

 

Peluang positif berkenaan menurut RHB Research, membolehkan kumpulan itu untuk merebut banyak lagi tawaran dalam pelbagai projek infrastruktur rel berskala besar yang bakal dilaksanakan kerajaan.

 

Ujarnya, kejayaan Mass Rapid Transit 2 (MRT2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menjadi pemangkin pertumbuhan jangka panjang, meskipun momentum pemerolehan kontrak baharu kekal menjadi cabaran.

 

"Justeru, kami masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham MRCB dengan harga sasaran (TP) 51 sen, yang menawarkan potensi kenaikan 55% selain anggaran pulangan dividen sebanyak 3%," jelasnya.

 

RHB Research berkata, lawatan ke operasi hari pertama LRT3 pada 29 Jun 2026 meningkatkan keyakinan terhadap kesan limpahan ekonomi, khususnya pembangunan berorientasikan transit (TOD) di jajaran.

 

Tambahnya, pengalaman luas kumpulan dalam LRT3 dan MRT2 meletakkannya pada kedudukan kukuh merebut peluang tender rel baharu, termasuk projek LRT Pulau Pinang dan MRT3 dalam masa terdekat.

 

MRCB_DagangNews2026

 

MRCB tahun lalu meraih kontrak bernilai RM2.5 bilion bagi pembinaan lima stesen yang dikembalikan semula, pembinaan dua depot bas elektrik di Shah Alam dan Johan Setia, serta kerja-kerja berkaitan.

 

"Selain manfaat daripada kontrak, TOD dijangka merangsang banyak aktiviti pembangunan hartanah di sekitar stesen, yang mewujudkan peluang tambahan kepada sektor pembinaan," kata RHB Research lagi.

 

Menurutnya, beberapa projek seperti Sena Residence, dan Astrum Shah Alam  dimajukan berdekatan stesen, manakala banyak kawasan seperti Sri Andalas, berpotensi dibangunkan pusat komersial.

 

Firma itu menjangkakan MRCB akan mula mencatatkan peningkatan pengebilan kemajuan bagi bahagian pembinaannya bermula akhir 2026, didorong pelaksanaan projek lima stesen LRT3 dan menjana hasil.

 

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan itu tanpa perubahan dan yakin pemangkin terdekat ialah jika syarikat berjaya memperoleh Pakej Segmen 2 projek LRT Pulau Pinang.

 

"Bagaimanapun, kami mengingatkan bahawa kadar perolehan kontrak baharu yang lebih perlahan kekal menjadi risiko utama kepada prospek pertumbuhan syarikat," tambahnya. - DagangNews.com