KUALA TERENGGANU 6 Julai – Tasik Kenyir terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi paling berpotensi di Malaysia dengan kemunculan sebuah hotel baharu yang akan memberi nafas baharu kepada industri pelancongan Terengganu.
Primula By The Lake yang mula beroperasi di kawasan tasik tersebut bermula 1 Julai 2026 tampil dengan konsep penginapan berasaskan pengalaman yang memfokuskan keindahan alam sekitar sebagai tarikan utama kepada pengunjung.
Terletak di lokasi strategik yang menghadap terus ke kawasan Tasik Kenyir, hotel berkenaan menawarkan suasana percutian yang menggabungkan elemen ketenangan, alam semula jadi serta kemudahan moden.
Dengan kapasiti 150 bilik penginapan, setiap satu direka bagi memberikan pemandangan terbuka ke arah tasik dan kehijauan hutan tropika, menjadikannya antara produk hospitaliti unik di kawasan itu.


Kehadiran hotel tersebut dijangka memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi setempat khususnya kepada pengusaha pelancongan kecil termasuk operator bot, pemandu pelancong dan peniaga tempatan di sekitar Tasik Kenyir.
Pengurus Residen Primula By The Lake, Mohd Fadzil Ismail berkata, kelebihan lokasi hotel yang berada betul-betul menghadap tasik memberi pengalaman penginapan yang sukar ditandingi kerana setiap bilik menawarkan pemandangan semula jadi tanpa sebarang halangan.
“Primula By The Lake bukan sekadar tempat menginap, tetapi sebuah destinasi yang menggabungkan keselesaan moden dengan keindahan alam semula jadi Tasik Kenyir,” katanya, lapor UPDI.
ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu Inc mulakan operasi Hotel Pulau Poh di Tasik Kenyir pada 3QFY26, guna kepakaran Primula dan Permai
Selain itu, Primula By The Lake juga dilihat berpotensi meningkatkan tempoh penginapan pelancong di Terengganu yang akan menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan pelawat dalam sektor makanan, aktiviti rekreasi dan perkhidmatan berkaitan.
Pengurusan hotel itu memaklumkan fasiliti yang disediakan turut menyasarkan segmen pelancongan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) dengan kapasiti dewan besar yang mampu menampung 1,000 tetamu pada satu-satu masa.
Secara tidak langsung menjadikan Tasik Kenyir bukan sahaja destinasi percutian, tetapi juga lokasi strategik untuk acara korporat dan program berskala besar di Pantai Timur.


Dalam masa yang sama, hotel berkenaan turut bekerjasama dengan pengendali aktiviti tempatan bagi menawarkan pakej pelancongan menyeluruh termasuk aktiviti air, penerokaan hutan serta lawatan ke kawasan air terjun sekitar Tasik Kenyir.
Pendekatan itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh konsep ekopelancongan yang menjadi tunjang utama pembangunan Tasik Kenyir sebagai destinasi hijau berdaya saing.
Sambutan awal terhadap pembukaan hotel tersebut juga dilaporkan memberangsangkan dengan kadar tempahan yang tinggi sejak mula beroperasi, mencerminkan permintaan kukuh terhadap produk pelancongan berasaskan alam di Terengganu.
Dengan kemunculan Primula By The Lake, Tasik Kenyir dijangka terus berkembang sebagai ikon pelancongan utama Terengganu yang mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa pada masa hadapan. - DagangNews.com








