KUALA LUMPUR 6 Julai – Stratus Global Holdings Berhad, dinilai Malacca Securities, berada pada kedudukan strategik menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 Julai 2026.
Kumpulan ini dijangka memanfaatkan kepesatan pelaburan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor global, dengan firma itu menetapkan nilai wajar RM2.00 sesaham, mewakili potensi kenaikan 150%.
Harga tawaran awam permulaan (IPO) ditetapkan hanya sebanyak 80 sen, dan firma penyelidikan itu mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan 12.5% bagi tempoh tiga tahun.
"Kami unjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) Stratus Gobal naik kepada RM72.7 juta, disokong operasi kemudahan baharu mulai suku ketiga 2028," kata Malacca Securities.
Menurutnya, kemudahan bernilai RM122.6 juta tersebut akan dibiayai menggunakan hasil dana IPO dan penyedia rumusan automasi kilang itu mampu menangani isu kekangan kapasiti yang dihadapi syarikat.
Ujar firma berkenaan, kilang yang sedia ada di Bayan Lepas, Pulau Pinang kini beroperasi hampir pada kapasiti maksimum, dengan kadar penggunaan melebihi 85% bagi Kilang 1 dan 90% bagi Kilang 2.

Stratus Global jelas Malacca Securities, turut merancang perluasan pejabat jualan serta sokongan di beberapa hab utama semikonduktor dunia termasuk Jepun, Taiwan, Jerman dan Amerika Syarikat (AS).
"Strategi itu tepat memandangkan 81.8% hasil syarikat pada FY26 dijana pasaran Amerika Utara dan Eropah, sekali gus meningkatkan keterlihatan jenama serta peluang kontrak baharu," tambahnya lagi.
Ia turut melihat potensi pertumbuhan baharu merangkumi aktiviti pemasangan dan pembungkusan cip, sejajar peningkatan penggunaan teknologi pembungkusan termaju serta automasi bagi produktiviti.
Setakat ini kata Malacca Securities, Stratus Global memiliki buku tempahan belum dibilkan bernilai RM108.4 juta, dengan RM75.4 juta yang dijangka dapat diiktiraf sebagai hasil syarikat pada FY27.
Walaupun hasil FY26 susut 10.5% kepada RM197.1 juta berikutan pengebilan projek yang lebih rendah daripada beberapa pelanggan utama, margin keuntungan kasar syarikat adalah kekal kukuh pada 51.8%.
"Kumpulan ini terus mengekalkan kedudukan tunai bersih tanpa sebarang pinjaman bank serta nisbah semasa 6.69 kali, mencerminkan kekuatan kewangan yang teguh," katanya. - DagangNews.com








