Keuntungan Aeon Credit dijangka meningkat 9% pada 1Q FY2027, Affin Hwang kekal saranan 'Beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Aeon Credit dijangka meningkat 9% pada 1Q FY2027, Affin Hwang kekal saranan 'Beli'

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Julai – Affin Hwang Investment Bank menjangkakan Aeon Credit Service (M) Bhd mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sekitar RM85 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 yang berakhir 31 Mei 2026, meningkat 9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi yang lebih baik itu didorong oleh penurunan kos kredit kepada 4.15% berbanding 4.98% setahun lalu, hasil pelaksanaan piawaian pengunderaitan yang lebih ketat serta keberkesanan usaha kutipan pembiayaan.

 

Keputusan kewangan Aeon Credit bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 28 Februari 2027 (FY2027) dijadual diumumkan pada 9 Julai ini.

 

Menurut Affin Hwang, syarikat pembiayaan pengguna itu dijangka mencapai sasaran kadar kutipan hari pertama (day-zero collection) sebanyak 98.2% pada FY2027 berbanding 97.6% pada FY2026, disokong oleh saringan lebih ketat bagi pembiayaan peribadi dan pinjaman kereta terpakai serta model kutipan yang lebih cekap.

 

"Bagaimanapun, pendekatan lebih berhati-hati dalam pemberian pembiayaan dijangka memperlahankan pertumbuhan keseluruhan pinjaman kepada 9.5% pada FY2027 daripada 11.4% tahun sebelumnya bagi memastikan kualiti aset terus terpelihara," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Affin Hwang berkata, pembiayaan motosikal terutama dalam segmen motosikal berkuasa tinggi dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan syarikat berikutan permintaan yang kekal kukuh serta prestasi kutipan yang memberangsangkan.

 

"Segmen ini dijangka melengkapkan pertumbuhan yang lebih sederhana bagi pembiayaan peribadi dan pinjaman kereta terpakai memandangkan piawaian pengunderaitan kekal ketat," katanya.

 

Titik Perubahan Aeon Bank

Dalam pada itu, Affin Hwang turut berpandangan FY2027 akan menjadi titik perubahan kepada Aeon Bank apabila kerugian bank digital itu terus mengecil selepas melalui fasa pelaburan awal.

 

Firma itu menjangkakan pertumbuhan perbelanjaan operasi akan mula sederhana apabila Aeon Bank memberi tumpuan kepada pengembangan portfolio pembiayaan bagi meningkatkan pendapatan.

 

Sehingga suku ketiga FY2026, nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) Aeon Bank hanya berada pada 4.5%, sekali gus menunjukkan ruang yang besar untuk mempercepatkan pertumbuhan pembiayaan.

 

Susulan pelancaran produk pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk pembiayaan modal kerja dan pinjaman berjangka pada suku keempat FY2026, pihak pengurusan dijangka meningkatkan pemberian pembiayaan dalam segmen itu selain pembiayaan peribadi.

 

Aeon Bank menyasarkan kerugian sekitar RM75 juta bagi FY2027 berbanding RM85 juta pada FY2026, manakala Affin Hwang mengunjurkan kerugian suku pertama sekitar RM18 juta hingga RM19 juta, sejajar dengan sasaran pengurusan.

 

Sehubungan itu, Affin Hwang mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham Aeon Credit dengan harga sasaran RM7.50 sesaham. - DagangNews.com