Yayasan Peneraju cari CEO baharu, fokus calon berpengalaman kepimpinan strategik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Peneraju cari CEO baharu, fokus calon berpengalaman kepimpinan strategik

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera mencari calon yang sesuai bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dengan penekanan utama diberikan kepada calon yang mempunyai rekod pengalaman kepimpinan yang kukuh serta pendedahan luas dalam industri strategik.

 

Organisasi itu menegaskan, hanya individu berpengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun dalam pelbagai sektor, termasuk sekurang-kurangnya lima tahun di peringkat pengurusan tertinggi atau C-suite, akan dipertimbangkan bagi menerajui fasa transformasi seterusnya.

 

Pembukaan permohonan itu dibuat susulan peletakan jawatan penyandang terdahulu, Ibrahim Sani berkuat kuasa 1 Julai 2026.

 

Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata proses pengisian jawatan tertinggi itu dilakukan secara telus, teratur dan mengikut prinsip tadbir urus yang baik selaras dengan keperluan semasa sektor pembangunan bakat negara.

 

Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan kesinambungan kepimpinan organisasi tidak terjejas serta memperkukuh agenda pembangunan bakat Bumiputera di peringkat nasional.

 

Perkasa Bakat Bumiputera

Katanya, Yayasan Peneraju memainkan peranan penting sebagai “talent bank” negara dalam mengenal pasti, membangun dan memperkasa bakat Bumiputera khususnya dalam bidang berkemahiran tinggi, keusahawanan serta sektor pertumbuhan baharu.

 

“Pemilihan CEO baharu perlu mengambil kira keupayaan strategik yang tinggi bagi memastikan organisasi kekal relevan dalam ekosistem ekonomi yang semakin dipacu teknologi.

 

“Calon yang dicari perlu mempunyai pengalaman dalam bidang teknologi, transformasi digital, inovasi, pembangunan bakat serta strategi korporat, sejajar dengan perubahan landskap pekerjaan masa depan.

 

“Yayasan Peneraju memerlukan pemimpin yang bukan sahaja berpengalaman luas, tetapi juga mampu memahami perubahan besar seperti pendigitalan, kecerdasan buatan serta keperluan industri bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kriteria Calon 

Antara kriteria utama yang ditetapkan termasuk calon Bumiputera berumur 35 tahun ke atas dengan pengalaman kerja sekurang-kurangnya 10 tahun merentasi pelbagai industri dan fungsi kepimpinan.

 

Calon juga perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda atau kelayakan profesional yang diiktiraf, selain pengalaman memimpin organisasi atau bahagian strategik di peringkat kanan.

 

Tempoh Permohonan

Permohonan bagi jawatan CEO tersebut dibuka mulai 6 hingga 20 Julai 2026 dan tertakluk kepada sebarang perubahan oleh pihak Yayasan Peneraju dari semasa ke semasa.

 

Calon yang berminat boleh menghantar permohonan melalui beberapa saluran rasmi termasuk laman kerjaya Yayasan Peneraju, LinkedIn rasmi, platform JobStreet serta emel pengambilan bakat yang disediakan.

 

Pemilihan akhir calon akan dilakukan oleh jawatankuasa khas yang dilantik, berdasarkan tatacara dalaman organisasi serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan jika diperlukan. - DagangNews.com