KUALA LUMPUR 6 Julai - Avaland Bhd dijangka melancarkan dua projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM1.06 bilion pada separuh kedua 2026, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan kumpulan yang disokong oleh jualan belum dibil yang tinggi dan bank tanah yang semakin berkembang.
Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, projek yang bakal diperkenalkan ialah Accent Petaling Jaya dengan GDV RM380 juta dan Aetas Taman Desa, sebuah projek kondominium mewah bernilai GDV RM677 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan Avaland dijangka bertambah kukuh pada separuh kedua tahun ini apabila jualan belum dibil berjumlah RM908.8 juta diiktiraf secara berperingkat mengikut kemajuan pembinaan projek sedia ada.
Antara projek yang sedang menyumbang kepada pengiktirafan hasil ialah Aetas Seputeh, Amika Residences, Meria dan Avalon di Cybersouth.
Pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY2026), prajualan Avaland meningkat 3% kepada RM152.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut PublicInvest, syarikat itu dijangka mampu mengekalkan prajualan tahunan antara RM800 juta hingga RM900 juta, disokong oleh pelancaran projek baharu bernilai sekitar RM1 bilion setiap tahun.
"Bagi memastikan pertumbuhan berterusan, Avaland merancang melancarkan dua hingga tiga projek baharu setiap tahun bagi menambah semula jualan belum dibil dan mengekalkan keterlihatan pendapatan," katanya dalam nota penyelidikan.
Bank Tanah
Dalam pada itu, Avaland turut mengembangkan bank tanahnya menerusi pembelian sebidang tanah pegangan bebas di Taman U-Thant, Kuala Lumpur pada harga RM86 juta.
Tanah berkenaan akan dibangunkan sebagai projek kediaman mewah dengan anggaran GDV RM707 juta.
Bersama projek Jalan Putra yang mempunyai anggaran GDV RM906 juta dan pembangunan Accent Petaling Jaya, jumlah bank tanah Avaland kini meningkat kepada 76.5 hektar dengan anggaran GDV keseluruhan RM12.2 bilion.
PublicInvest berkata, pengembangan bank tanah itu menyediakan keterlihatan pembangunan jangka panjang dan menyokong sasaran pertumbuhan syarikat pada masa depan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan "Outperform" terhadap saham Avaland dengan harga sasaran 30 sen sesaham.
Menurutnya, penilaian tersebut dibuat berdasarkan diskaun kira-kira 60% kepada nilai buku syarikat, selaras dengan penilaian syarikat-syarikat setara dalam sektor hartanah. - DagangNews.com








