Syarikat insurans, takaful tidak boleh batal polisi secara sebelah pihak - Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat insurans, takaful tidak boleh batal polisi secara sebelah pihak - Parlimen diberitahu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Julai - Syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan polisi atau sijil takaful secara sebelah pihak, selain tidak dibenarkan menamatkan atau enggan memperbaharui perlindungan hanya kerana pemegang polisi telah membuat tuntutan atau mengalami masalah kesihatan selepas mendapatkan perlindungan.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, perlindungan itu termaktub dalam Dokumen Dasar Perniagaan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bagi memastikan hak pemegang polisi terus terpelihara di samping menangani kebimbangan orang ramai mengenai kesinambungan perlindungan insurans.

 

Menurutnya, di bawah dokumen dasar MHIT, ITO juga bertanggungjawab mengurus dan menyemak tuntutan secara adil mengikut terma kontrak, termasuk memastikan tuntutan berada dalam skop perlindungan dan rawatan yang diterima adalah perlu dari sudut perubatan.

 

"Penyemakan tuntutan dibuat berpandukan protokol rawatan lazim serta garis panduan amalan klinikal, termasuk yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

"Bagi kebanyakan hospital, proses semakan itu dilakukan sebelum rawatan diberikan kepada pesakit bagi mengelakkan pemegang polisi menanggung kos yang tidak dipersetujui selepas menerima rawatan.

 

"Sekiranya sesuatu rawatan tidak mengikut protokol rawatan lazim, ITO akan menjalankan semakan lanjut. Namun, jika rawatan tersebut didapati perlu dari sudut perubatan, tuntutan berkenaan wajib diluluskan," katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawan soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai langkah kerajaan untuk memperkukuh peraturan insurans bagi melindungi pemegang polisi, pesakit penyakit kritikal dan kanser, daripada pembatalan polisi sewenang-wenangnya.

 

Chin Tong berkata, proses pengurusan dan penyelesaian pertikaian tuntutan MHIT sedang diperkukuh melalui Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Penjagaan Kesihatan (HPPSC), yang diterajui kerajaan bersama industri perubatan, hospital, syarikat insurans, pengendali takaful dan BNM.

 

"HPPSC baru-baru ini turut mengumumkan beberapa inisiatif termasuk menggalakkan amalan terbaik dalam penentuan perlindungan insurans dan takaful bagi teknologi serta rawatan perubatan baharu.

 

"Bagi mengukuhkan lagi perlindungan kepada pemegang polisi, BNM juga sedang mempertimbangkan pelaksanaan moratorium keseluruhan ke atas tuntutan (juga dikenali sebagai peruntukan “no look-back”)," katanya

 

Beliau menambah, ini bermaksud, selepas seseorang mempunyai perlindungan insurans atau takaful bagi tempoh tertentu yang berterusan, syarikat insurans atau pengendali takaful tidak boleh menolak tuntutan atas alasan penyakit sedia ada yang tidak didedahkan secara tidak sengaja. 

 

Data industri sehingga 2025 menunjukkan syarikat insurans dan pengendali takaful mengekalkan purata kadar kelulusan tuntutan melebihi 90%, dengan lebih satu juta tuntutan diluluskan setiap tahun secara kolektif.

 

Sekiranya pemegang polisi mempunyai aduan, mereka disaran menghubungi syarikat insurans atau pengendali takaful masing-masing terlebih dahulu. Jika masih tidak berpuas hati, mereka boleh mendapatkan bantuan melalui BNMLINK atau mengemukakan pertikaian kepada Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) secara percuma. - DagangNews.com