KUALA LUMPUR 6 Julai – Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) berdepan tuntutan timbang tara bernilai RM159 juta melibatkan anak syarikatnya di Indonesia, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma itu namun berpandangan kedudukan kewangan kukuh serta asas pendapatan pelbagai membolehkan kumpulan berkenaan mengharungi cabaran tersebut tanpa memberi kesan material kepada operasi semasa.
Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'neutral' dan harga sasaran (TP) RM22.57, setelah diambil kira pertikaian yang melibatkan subsidiarinya, PT Perindustrian Sawit Synergi (PT PSS) baru-baru ini.
"Kes KLK itu membabitkan notis penubuhan panel timbang tara oleh Badan Arbitrase Nasional Indonesia (BANI) susulan tuntutan yang dikemukakan oleh PT Pertagas Niaga (PT GN)," jelas nota PublicInvest.
PT GN menuntut pampasan berjumlah AS$39 juta (RM158.7 juta) dalam perjanjian pembekalan gas, dengan mendakwa PT PSS masih bertanggungjawab membeli gas bagi baki tempoh kontrak tanpa jumlah sebenar.
Selain itu ujarnya, PT GN turut memohon pengesahan tindakan pengeluaran jaminan bank bernilai AS$2.8 juta (RM11 juta) yang disediakan oleh PT PSS sebelum ini adalah sah mengikut terma perjanjian.

Bagaimanapun, PublicInvest berkata PT PSS akan mengemukakan tuntutan balas terhadap PT GN atas dakwaan gagal membekalkan gas secara berterusan seperti yang dipersetujui dalam kontrak pembekalan.
"PT PSS bakal menuntut ganti rugi RM55 juta, dan pengisytiharan jaminan bank tersebut adalah tidak sah serta pembayaran balik sepenuhnya terhadap jumlah yang sudah dikeluarkan," tegas firma itu.
Menurut pengurusan KLK, tuntutan yang dikemukakan PT GN tiada asas kukuh dan prosiding timbang tara dijangka tidak memberi impak material terhadap kedudukan kewangan atau operasi keseluruhan.
PublicInvest berkata, meskipun keputusan tidak memihak memerlukannnya membuat peruntukan kewangan, kesannya dijangka masih terkawal kerana lembaran imbangan yang kukuh dan sumber hasil pelbagai.
Justeru, ia menganggarkan dalam senario paling buruk, nilai tuntutan hanya mewakili 13% daripada unjuran keuntungan penuh tahun kewangannya, dan tuntutan balas turut membantu mengurangkan risiko.
"Selain itu, kami berpandangan ketidaktentuan akibat prosiding itu dijangka diimbangi harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh serta kedudukan tunai bersih KLK sebanyak RM2.1 bilion," tambahnya.
Berdasarkan situasi semasa, PublicInvest mengekalkan unjuran hasil tanpa perubahan, sementara menunggu perkembangan lanjut sesi timbang tara dijadual bermula 10 Julai 2026. - DagangNews.com








