Tambang lebih murah Kuala Lumpur-Kuching dari AirBorneo tidak lama lagi, kata Premier Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tambang lebih murah Kuala Lumpur-Kuching dari AirBorneo tidak lama lagi, kata Premier Sarawak

Oleh HAMDEN RAMLI

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memberi bayangan tambang lebih murah bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching akan direalisasikan AirBorneo tidak lama lagi.

 

Beliau berkata, ini susulan langkah syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu yang dijangka mengumumkan kadar tambang baharu yang lebih kompetitif bagi laluan penerbangannya sama ada minggu depan atau menjelang pertengahan Julai.

 

Beliau berkata, struktur harga baharu itu akan meliputi beberapa laluan utama, dengan tumpuan khusus kepada laluan berkapasiti tinggi Kuala Lumpur-Kuching, sekali gus menunaikan janji kerajaan negeri untuk menawarkan pilihan perjalanan udara yang lebih mampu milik kepada rakyat.

 

“Saya boleh beri sedikit bayangan. Tambang penerbangan Kuala Lumpur-Kuching akan menjadi lebih murah seperti yang telah kita janjikan.

 

“Harga itu juga termasuk bagasi dan hidangan dalam penerbangan. Kebiasaannya syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan untuk bagasi, tetapi bagi AirBorneo, semuanya telah dimasukkan dalam harga, termasuk hidangan di dalam pesawat,” katanya lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

 

Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan dana bagi pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani di sini, pada Ahad.

 

Awal tahun ini, Abang Johari memaklumkan AirBorneo dijadual memulakan operasi pesawat jet pada Julai 2026, sekali gus menandakan fasa kedua strategi pengembangan syarikat penerbangan milik kerajaan negeri itu.

 

Pada fasa awal operasi pesawat jet, AirBorneo dijangka menghubungkan Kuching dengan beberapa hab serantau utama iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta.

 

Langkah itu menyusuli fasa pertama pembangunan AirBorneo yang memberi tumpuan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) menggunakan pesawat turboprop.

 

Abang Johari turut menegaskan penubuhan dan pengembangan AirBorneo merupakan komponen penting dalam strategi jangka panjang Sarawak untuk memperkukuh jaringan perhubungan udara di negeri itu.

 

Ia juga dirancang untuk merancakkan sektor pelancongan, menarik pelaburan asing serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Sarawak.

 

Sementara itu tinjauan di laman web AirBorneo mendapati syarikat tersebut telah memulakan kempen sejak seminggu lalu mengenai sesuatu yang baharu akan muncukl daripada syarikat penerbangan itu.

 

"Ada sesuatu akan datang", "Langit Anda Baru Sahaja Berubah" antara ayat-ayat promosi syarikat itu.

 

Dalam pada itu portal penerbangan, AeroRoutes melaporkan AirBorneo memfailkan jadual operasi pesawat jet Boeing B737-800 yang dirancang dalam pangkalan data jadual penerbangan OAG, melibatkan perkhidmatan dari Kuching ke Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Changi, Singapura bermula penghujung Julai.

 

AeroRoutes melaporkan operasi pesawat jet yang dirancang itu dijadual memulakan penerbangan laluan Kuching-Kuala Lumpur seawal 20 Julai, manakala laluan Kuching-Changi dijangka bermula pada 27 Julai.

 

Konfigurasi pesawat yang dirancang ketika ini dipaparkan sebagai C12Y150, yang lazimnya merujuk kepada susun atur 162 tempat duduk, terdiri daripada 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 tempat duduk kelas ekonomi.

 

Bagaimanapun, jadual operasi tersebut masih tertakluk kepada sebarang perubahan lanjut. - DagangNews.com