Strategi Binastra tingkatkan projek bukan kediaman percepatkan pertumbuhan hingga FY28, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi Binastra tingkatkan projek bukan kediaman percepatkan pertumbuhan hingga FY28, kata TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 Julai – Strategi Binastra Corporation Berhad mempergiatkan penglibatan dalam banyak projek jenis bukan kediaman pada ketika ini dilihat sebagai positif, menurut analisis TA Securities

 

Antaranya ujar firma penyelidikan itu, seperti pusat data (DC) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang bakal mempercepatkan lagi pertumbuhan pendapatan kumpulan sehingga tahun kewangan 2028 (FY28).

 

Perkembangan itu mendorongnya menaikkan unjuran keuntungan tahun kewangan 2026 (FY26) sebanyak 5%, dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.17 berbanding RM3.04 sebelum ini.

 

"Kami berpandangan pelaksanaan projek secara pantas akan menjadi pemangkin utama prestasi Binastra meskipun persaingan kontrak yang berkualiti tinggi kekal cabaran semasanya," kata TA Securities.

 

Firma tersebut merujuk pemerolehan kontrak pembinaan DC di Cheras bernilai RM491.2 juta, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan syarikat itu bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Menurutnya, 32% daripada buku tempahan terdiri projek bukan kediaman seperti projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan tenaga solar (EPCC), serta projek solar berskala besar (LSS).

 

Binastra_DagangNews2026

 

Langkah Binastra meningkatkan komposisi projek itu ujar TA Securities, amat positif kerana tempoh pembinaan pantas sekitar 24 bulan, berbanding 36 bulan bagi pembangunan kediaman bertingkat tinggi.

 

"Keadaan ini membolehkan pengiktirafan hasil dipercepatkan, dengan sebahagian besar kontrak diraih sepanjang FY25 dan FY26, yang menyumbang kepada pertumbuhan pada FY27 dan FY28," tambahnya lagi.

 

Ia juga berpandangan peningkatan sumbangan projek bukan kediaman meningkatkan kualiti buku tempahan melalui kepelbagaian sumber hasil, dan mengurangkan kebergantungan tinggi kepada projek kediaman.

 

Ujar TA Securities, Binastra terus memberi tumpuan kepada usaha pemerolehan kontrak berkualiti tinggi khususnya pembinaan DC dan projek RE, sejajar strategi pertumbuhan agenda jangka panjang.

 

Sehingga tahun kewangan FY27, ia memperoleh kontrak baharu bernilai RM1.2 bilion, atau 52% daripada sasaran kontrak baharu sebanyak **RM2.5 bilion, dan yakin mampu mencapai sasaran ditetapkan itu.

 

"Kami menaikkan unjuran untung hingga FY28 sekitar 5% dan berpandangan kumpulan terus berada pada kedudukan kukuh hasil hubungan jangka panjang dengan pelanggan utama," katanya. - DagangNews.com