Tasik Kenyir bakal jadi ‘loji gergasi’ solar terapung, Terengganu Inc sasar 7.5GW tenaga hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tasik Kenyir bakal jadi ‘loji gergasi’ solar terapung, Terengganu Inc sasar 7.5GW tenaga hijau

Ilustrasi projek solar terapung dengan bentuk penyu sebagai ikon Terengganu di Tasik Kenyir - Gambar janaan AI
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 27 April – Terengganu Inc merancang untuk memanfaatkan sehingga 30% keluasan Tasik Kenyir bagi pembangunan solar terapung dengan kapasiti mencecah 7.5GW yang akan menjadikan negeri itu sebagai antara pengeluar tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia.

 

Tasik Kenyir yang terletak di Hulu Terengganu adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang membentuk 340 pulau kecil dengan keluasan permukaan air hampir 260 kilometer persegi.

 

Perancangan berskala mega itu antara langkah strategik Terengganu Inc untuk menarik pelaburan berimpak tinggi, merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh dengan membuka peluang pekerjaan yang luas termasuk kepada tenaga kerja serta syarikat vendor tempatan dalam industri berkaitan.

 

Inisiatif tersebut turut didorong oleh peningkatan mendadak permintaan tenaga hijau global terutama dari negara jiran, khususnya daripada industri pusat data yang kini beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.

 

Namun, matlamat jangka masa panjang itu memerlukan kelulusan daripada pelbagai pihak berkuasa berkepentingan termasuk kerajaan negeri, Suruhanjaya Tenaga, serta Tenaga Nasional Berhad bagi tujuan penyambungan dan integrasi ke grid nasional.

 

Selain itu, Jabatan Alam Sekitar pastinya memainkan peranan penting dengan mewajibkan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi memastikan keseimbangan ekosistem tasik terpelihara. Pada masa sama, kementerian berkaitan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan menilai kesan strategik projek terhadap dasar tenaga negara, pelaburan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata ketika ini, hanya sekitar 2% daripada keluasan Tasik Kenyir dimanfaatkan bagi projek solar terapung yang menjana kira-kira 595MW tenaga.

 

“Projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara itu dirancang dalam tiga fasa utama dengan kapasiti keseluruhan sekitar 2.5GW yang dijangka direalisasikan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dengan nilai pelaburan RM10 bilion.

 

“Projek strategik itu dilaksanakan menerusi konsortium yang diterajui Terengganu Inc bersama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO) yang menganugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kepada konsortium diterajui Cypark Resources Berhad.

 

“Tenaga yang dihasilkan akan disalurkan kepada pusat data di Johor selari dengan perkembangan pesat sektor ekonomi digital negara. Pengurusan dan pengagihan tenaga tersebut akan dikendalikan oleh TNB Genco bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik,” katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu hari ini.

 

t
Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun

 

Keseluruhan projek tersebut melibatkan penggunaan kira-kira 10% daripada keluasan tasik yang menjadi asas kepada peluasan projek pada masa depan.

 

Selain penjanaan tenaga, pembangunan ini turut merangkumi penggunaan sistem simpanan tenaga bateri (BESS) bagi meningkatkan kecekapan serta kebolehpercayaan bekalan elektrik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cypark raih kontrak EPCC RM1.96 bilion daripada TNB Genco bagi projek solar terapung di Tasik Kenyir

 

t

 

Tambahnya, kerajaan negeri juga berpotensi menikmati limpahan hasil yang mampan melalui penyertaan dalam projek berkenaan dengan sasaran hingga RM40 juta setahun hasil sumbangan projek tersebut apabila siap kelak.

 

Dari sudut ekonomi setempat, pembangunan Tasik Kenyir sebagai hab tenaga hijau dijangka memberi kesan limpahan kepada sektor pelancongan melalui peningkatan infrastruktur dan tarikan baharu.

 

Beliau berkata di samping memperkukuh usaha diversifikasi portfolio pelaburan negeri ke arah sektor tenaga boleh diperbaharui, projek ini turut memberi nilai tambah melalui pemindahan teknologi bertaraf antarabangsa dalam bidang solar terapung dan BESS. 

 

“Penyertaan aktif Terengganu Inc membuka ruang kepada pembangunan kapasiti tempatan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, serta penguasaan teknologi hijau oleh anak tempatan. 

 

“Pada masa yang sama, projek ini dijangka memberi impak sosioekonomi yang signifikan kepada kawasan Hulu Terengganu melalui peluang pekerjaan, penglibatan kontraktor tempatan, serta 
peningkatan infrastruktur dan aktiviti ekonomi setempat sepanjang tempoh 
pembangunan,.

 

“Untuk fasa pertama sahaja, hampir 5,000 pekerja terlibat dengan projek tersebut dan 50% daripadanya adalah anak tempatan yang menjana nilai ekonomi setempat untuk masyarakat sekitar Hulu Terengganu,” katanya. - DagangNews.com