Cypark raih kontrak EPCC RM1.96 bilion daripada TNB Genco bagi projek solar terapung di Tasik Kenyir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cypark raih kontrak EPCC RM1.96 bilion daripada TNB Genco bagi projek solar terapung di Tasik Kenyir

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 April – Cypark Resources Berhad memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM1.962 bilion bagi pembangunan projek tenaga boleh baharu berskala besar di negara ini.

 

Ia merupakan kolaborasi strategik antara konsortium Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dan TNB GENCO, sekali gus meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam pembangunan infrastruktur tenaga bersih di rantau ini.

 

Kontrak tersebut dianugerahkan oleh TNB Power Generation Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad, kepada konsortium yang diketuai Cypark iaitu Cypark Renewable Energy Sdn Bhd (CRE) dan Fabulous Sunview Sdn Bhd (FSSB).

 

CRE, anak syarikat milik penuh Cypark, memegang 60% daripada konsortium, manakala FSSB memegang baki 40%. FSSB adalah anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cypark berkata projek berkenaan melibatkan pembangunan loji hidro hibrid solar terapung (HHFS) berkapasiti 595 megawatt arus ulang-alik (MWac) yang akan dibina di Tasik Kenyir, Terengganu.

 

 

 

 

 

 

“Selain itu, projek tersebut turut mengintegrasikan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi meningkatkan kestabilan sistem serta mengoptimumkan pengeluaran tenaga,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Projek Kenyir HHFS itu merupakan antara pembangunan infrastruktur tenaga boleh baharu terbesar di Malaysia setakat ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.

 

Apabila beroperasi kelak, ia bakal menjadi projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga bersih berskala besar.

 

t

 

Projek berkenaan dibangunkan melalui kerjasama konsortium antara Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan TNB GENCO.

 

Penganugerahan kontrak ini mencerminkan keupayaan Cypark dalam melaksanakan projek solar terapung yang kompleks, disokong kepakaran teknikal serta rekod pelaksanaan yang kukuh.

 

Pada masa sama, ia membuktikan keupayaan kumpulan menukar peluang dalam buku tender kepada projek yang berjaya diperoleh, selari dengan strategi pertumbuhan jangka panjangnya.

 

Cypark turut menekankan pendekatan seimbang antara menjana pendapatan berulang melalui pemilikan aset tenaga dan memperoleh hasil jangka pendek menerusi pelaksanaan projek EPCC.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Cypark, Datuk Ami Moris berkata, pencapaian itu merupakan satu detik penting yang mencerminkan kekuatan keupayaan syarikat serta kepercayaan rakan strategik terhadap kumpulan berkenaan.

 

 

 

 

 

 

“Projek Kenyir HHFS dijangka meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan selain mengukuhkan prospek pertumbuhan melalui pelaksanaan projek berskala besar.

 

“Dalam masa sama, projek tersebut turut menyumbang kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara serta mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya. - DagangNews.com