KUALA LUMPUR 5 Jun – Kerajaan Persekutuan menafikan spekulasi kononnya Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan lebih awal susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan di peringkat kerajaan mengenai kemungkinan untuk mempercepatkan PRU.
“Tiada sebarang perbincangan mengenainya…tidak pernah dibangkitkan sama sekali mengenai cadangan untuk mempercepatkan pilihan raya umum,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi hari ini.
Menurutnya, dakwaan kononnya kerajaan sedang mempertimbangkan PRU lebih awal hanyalah spekulasi yang tidak berasaskan sebarang keputusan atau perkembangan sebenar.
Khabar angin itu mula timbul susulan tindakan pembubaran DUN Johor dan Negeri Sembilan yang dibuat mengikut prosedur perlembagaan.
Perkembangan tersebut kemudiannya mencetuskan pelbagai andaian ia boleh memberi kesan kepada landskap politik di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, Fahmi menegaskan Kerajaan Perpaduan kekal stabil dan tidak terjejas oleh sebarang spekulasi politik semasa.
“Urusan pentadbiran kerajaan termasuk mesyuarat Jemaah Menteri terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
“Pembubaran DUN di kedua-dua negeri terbabit telah dilakukan mengikut proses perlembagaan selepas mendapat perkenan Sultan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menafikan spekulasi bahawa sesi fotografi Kabinet yang diadakan hari ini mempunyai kaitan dengan sebarang perancangan pembubaran Parlimen.
Jelasnya, sesi berkenaan hanyalah acara rasmi kerajaan yang dibuat susulan terdapat pelantikan beberapa menteri baharu dalam rombakan Kabinet sebelum ini.
Menurut beliau, rombakan Kabinet yang berlaku pada Disember lalu menyebabkan sesi fotografi rasmi tidak dapat diadakan lebih awal walaupun perancangan telah dibuat.
“Pemilihan masa bagi sesi tersebut adalah kebetulan kerana menteri berada di Putrajaya bagi menghadiri acara perbarisan rasmi dan memakai pakaian rasmi kerajaan,” katanya.- DagangNews.com








