KUALA LUMPUR 23 Julai - Zecon Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Zecon Renewables (Sarawak) Sdn. Bhd. (ZRS), menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM328 juta kepada Zecon Renewables Sdn. Bhd. (ZRE) bagi membangunkan kemudahan solar fotovoltaik (PV) agrivoltaik berskala besar berkapasiti 100MWac di Kota Petra Green Technology Park (KPGTP), Sarawak.
Kontrak itu melibatkan pelaksanaan keseluruhan skop EPCC bagi projek berkenaan termasuk pembinaan loji solar PV, kemudahan sambungan, cadangan jambatan sepanjang 130 meter merentasi Sungai Serai serta pembangunan infrastruktur dan kerja tanah di Lot 471 dalam kawasan KPGTP.
Dalam satu kenyataan, Zecon berkata projek tersebut disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 30 tahun yang dimeterai antara ZRS dan Syarikat Sesco Berhad (SEB) pada Oktober 2025.
Di bawah perjanjian itu, ZRS akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan solar PV berkapasiti 100MWac serta menjana dan membekalkan tenaga solar kepada SEB.
PPA itu menetapkan tarikh operasi komersial berjadual pada 31 Disember 2027.
Menurut Zecon, kontrak pembelian tenaga jangka panjang itu menyediakan kepastian hasil yang menjadi asas kepada daya maju komersial projek, selain menyokong pembiayaan, pembinaan dan operasi jangka panjang kemudahan berkenaan.
ZRS merupakan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang memegang Lesen Elektrik Tenaga Solar berkapasiti 100MWac selama 30 tahun.
ZRE Cabang EPCC Zecon
Sementara itu, ZRE yang merupakan cabang EPCC dan tenaga boleh diperbaharui Kumpulan, sebelum ini turut menyiapkan pemasangan sistem solar atas bumbung berkapasiti 2MWac di Hospital Pakar Kanak-Kanak Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (HPKK) di Cheras.
Syarikat itu juga sedang meneroka lebih banyak peluang pembangunan tenaga solar di Sarawak dan Sabah sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap bekalan tenaga hijau yang stabil dan boleh dipercayai.
Zecon berkata, projek solar 100MWac itu merupakan projek utama pertama di bawah pelan induk KPGTP dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pembangunan taman teknologi berkenaan.
Sebagai projek tenaga boleh diperbaharui utama di KPGTP, ia akan menjadi model bagi pembangunan fasa-fasa seterusnya, selain meningkatkan keyakinan pelabur dan bakal penyewa terhadap potensi taman industri tersebut sebagai hab pelaburan baharu di Sarawak.
Bagi fasa kedua, Zecon masih mempunyai baki kapasiti solar sebanyak 300MWac di bawah Lesen Elektrik Tenaga Solar yang dikeluarkan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) pada Februari 2025 dengan tempoh sah selama 30 tahun.

Fasa Kedua Disokong Sistem BESS
Kapasiti tambahan itu akan digunakan bagi membekalkan tenaga hijau secara terus kepada penyewa industri di KPGTP, disokong oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan berterusan.
Menurut syarikat itu, gabungan penjanaan tenaga solar di tapak, sistem BESS dan bekalan grid daripada SEB akan membolehkan KPGTP menawarkan bekalan tenaga rendah karbon yang boleh dipercayai kepada penyewa industri, sekali gus menyokong komitmen kelestarian mereka.
Zecon berkata, gabungan projek 100MWac yang telah dijamin melalui PPA bersama SEB dan baki kapasiti 300MWac untuk penyewa industri menyediakan aliran pendapatan jangka pendek yang terjamin serta potensi pertumbuhan pendapatan jangka panjang selaras dengan perkembangan KPGTP.
"Penganugerahan kontrak ini mengukuhkan cita-cita Zecon dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan selari dengan agenda tenaga bersih Sarawak.
"Sebagai inisiatif yang diterajui sektor swasta, pelan induk KPGTP turut meletakkan Zecon sebagai antara penyumbang utama kepada usaha peralihan Sarawak ke arah ekonomi rendah karbon," katanya. - DagangNews.com








