KUALA LUMPUR 5 Jun – APM Automotive Holdings Berhad mengesahkan kumpulan itu melaksanakan urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) bernilai keseluruhan RM14.47 juta dengan dua syarikat tempatan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, transaksi berkenaan melibatkan Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) dan Warisan TC Holdings Berhad (WTCH) dalam tempoh 14 Mac hingga 5 Jun 2026.
Nilai transaksi itu melebihi nisbah ambang 1% daripada jumlah aset bersih setakat 31 Disember 2025, dan memerlukan pendedahan awam mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.
"Daripada jumlah itu, transaksi melibatkan WTCH dan anak-anak syarikatnya menyumbang RM13.31 juta, manakala urus niaga dengan TCMH dan anak-anak syarikatnya berjumlah RM1.16 juta," jelas APM.
Sebahagian besar transaksi ujarnya, meliputi penjualan alat ganti dan komponen automotif oleh syarikat-syarikat dalam kumpulan kepada syarikat berkaitan dalam rangkaian Tan Chong dan WTCH.
Selain itu tambahnya, RRPT tersebut membabitkan pelbagai urusan penyewaan premis, pembelian komponen, perkhidmatan teknikal, perkhidmatan keselamatan serta pajakan sejumlah kenderaan.
APM berkata transaksi itu merupakan sebahagian daripada urusan perniagaan biasa kumpulan dan memberikan manfaat jangka panjang, termasuk mengekalkan pasaran sedia ada bagi produk keluarannya.
"Justeru usaha itu meningkatkan kecekapan operasi melalui jumlah pengeluaran yang lebih tinggi, dan sebahagian urus niaga turut diteruskan bagi memenuhi komitmen kontrak sedia ada," jelasnya.
Antaranya termasuk seperti perjanjian bekalan alat ganti dan sewaan premis walaupun mandat pemegang saham bagi RRPT tidak diperoleh pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-28 pada Mei 2025.
Namun APM menegaskan semua transaksi dilaksanakan berdasarkan prinsip komersial biasa dan secara wajar, serta tanpa ada syarat yang lebih menguntungkan pihak berkaitan berbanding pihak awam.
"Transaksi itu tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham minoriti, dan tiada kesan material terhadap hasil, aset bersih, tahap penggearan, modal saham atau pegangan substansial," katanya.
Jawatankuasa Audit dan Lembaga Pengarah, kecuali pengarah yang mempunyai kepentingan, berpendapat transaksi tersebut adalah adil, munasabah dan dilaksanakan demi kepentingan terbaik kumpulan.
Memandangkan nilai transaksi berkenaan masih berada di bawah ambang 5% yang ditetapkan Bursa Malaysia, RRPT tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham. - DagangNews.com








