KUALA LUMPUR 5 Jun – Gergasi petroleum global, ConocoPhillips memperkukuhkan komitmen jangka panjang di Malaysia apabila membuat keputusan pelaburan muktamad (FID) melibatkan RM1.3 bilion.
Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn berkata, projek itu melibatkan Fasa 2 pembangunan medan gas Kebabangan di luar pesisir Sabah, dengan pelaburan yang sudah diluluskan pada 21 Mei 2026.
Ia dilaksanakan bersama rakan usaha sama (JV) untuk penggerudian telaga tambahan bagi meningkatkan pengeluaran gas, memenuhi permintaan tenaga serta memperkukuhkan keselamatan bekalan tenaga Sabah.
"Keputusan tersebut mencerminkan keyakinan syarikat antarabangsa ini terhadap prospek industri tenaga negara selain komitmen berterusan untuk melabur di Sabah," jelas beliau dalam kenyataan.
Ujarnya, dalam tempoh lebih setahun sebagai operator, ConocoPhillips berjaya meningkatkan tahap kebolehpercayaan operasi dan memperkukuhkan prestasi keselamatan hasil sokongan kukuh pasukan.
Medan gas Kebabangan yang mula beroperasi pada 2013 terletak kira-kira 123 kilometer dari pantai Sabah dan merupakan pembekal utama gas asli cecair (LNG) serta gas domestik bagi negeri tersebut.

Pembangunan kluster itu dibuat menerusi kerjasama JV antara ConocoPhillips Sabah Gas Ltd yang memegang 30% ekuiti sebagai operator, Petronas Carigali Sdn Bhd (40%) dan Shell Energy Asia Ltd (30%).
"Projek Fasa 2 itu merupakan sebahagian strategi pertumbuhan global syarikat dan meningkatkan kapasiti pengeluaran gas sambil menyokong pembangunan bakat tempatan di Sabah," tambah Dunn.
Beliau turut berbangga apabila tiga syarikat Malaysia termasuk dari Sabah menerima pengiktirafan dalam Anugerah Pembekal Global ConocoPhillips 2026, dan membuktikan daya saing di peringkat dunia.
Selain Kebabangan ujarnya, ConocoPhillips turut mempunyai kepentingan ekuiti dalam beberapa aset huluan utama di Malaysia termasuk Kluster Ubah, medan Malikai, Gumusut dan Siakap North-Petai.
Pelaburan baharu itu dijangka memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab pengeluaran gas strategik negara, menyokong agenda keselamatan tenaga dan pertumbuhan industri tempatan. - DagangNews.com








