KUALA LUMPUR 9 Julai - Tarif baharu Amerika Syarikat (AS) sebanyak 25% ke atas Malaysia dijangka beri perkembangan positif jangka pendek kepada sektor sarung tangan Malaysia, kata CIMB Securities.
Katanya, Malaysia kini mempunyai kadar tarif kedua terendah dalam kalangan negara pengeluar sarung tangan utama, selepas Vietnam.
“Kami percaya ia memberi kelebihan daya saing relatif kepada pengeksport Malaysia.
“Surat daripada kerajaan AS menunjukkan, tarif yang disemak semula ini mungkin dipertimbangkan semula sekiranya Malaysia menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, dasar perdagangan, dan sekatan lain," katanya dalam satu nota kajian.
Sekiranya tarif 25% ini dikekalkan, firma penyelidikan itu berkata kos pembelian untuk pembeli di AS mungkin meningkat, sekali gus berpotensi mengurangkan jumlah pembelian dan meningkatkan persaingan di pasaran bukan AS.
Sehingga 2024, Malaysia menguasai bahagian terbesar pasaran sarung tangan global dengan kira-kira 45%, diikuti China sebanyak 28% dan Vietnam sebanyak 10%.
CIMB Securities berkata, Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd merupakan syarikat yang paling terdedah kepada pasaran AS, dengan masing-masing memperoleh kira-kira 50% daripada jumlah jualan mereka daripada AS.
Katanya, sebagai perbandingan, Top Glove Corp Bhd menjana kira-kira 24% daripada jumlah jualannya daripada AS, manakala Supermax Corp Bhd mempunyai pendedahan melebihi 20%.
“Kami percaya langkah itu selanjutnya menyokong agenda AS bagi meningkatkan pengeluaran sarung tangan nitril domestik, iaitu antara produk peralatan perlindungan diri (PPE) yang kritikal.
“Pada masa ini, hanya tiga pengeluar sarung tangan nitril beroperasi di AS, membekalkan hanya 0.05% daripada jumlah permintaan negara itu,” tambahnya.
Firma penyelidikan itu meramalkan, Supermax menjadi penerima manfaat utama memandangkan pengeluarannya berpangkalan di AS dijangka bermula pada suku pertama 2025.
Namun begitu, firma itu menjangkakan operasi di AS akan mencatatkan kerugian pada peringkat awal, dengan pengeluaran komersial daripada tiga barisan pengeluaran dijangka bermula pada suku ketiga 2025.
Secara keseluruhan, CIMB Securities mengekalkan pendirian "neutral" terhadap sektor sarung tangan getah disebabkan cabaran yang berterusan.
Ini termasuk persekitaran operasi yang mencabar akibat permintaan yang lemah dan kos yang tinggi, susulan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta gaji minimum baru-baru ini.
Kossan kekal sebagai pilihan utama firma itu dalam sektor ini, dengan saranan "beli", manakala saranan "pegang" dikekalkan bagi Top Glove, Hartalega, dan Supermax. - DagangNews.com








