KUALA LUMPUR 12 Jun – Coastal Contracts Berhad dijangka menjana keuntungan sekitar RM26.3 juta setahun bagi tempoh tiga tahun hasil kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) baharu di Mexico.
Perkembangan positif itu, menurut TA Securities, sekali gus dilihat mengukuhkan prospek pendapatan kumpulan dalam tempoh terdekat, dengan unjuran margin bersih yang menarik mencecah sekitar 41%.
Firma penyelidikan itu berkata, tender O&M bernilai AS$47.3 juta (RM192.8 juta) daripada syarikat minyak nasional Mexico, Pemex, dijangka menyumbang keuntungan terkumpul RM78.9 juta sehingga 2029.
"Kontrak ini merupakan sebahagian daripada pakej keseluruhan bernilai AS$204.8 juta (RM834.7 juta) bagi pembangunan Loji Perdiz Kedua di medan Ixachi, dilihat positif," katanya dalam nota analisis.
Tender yang diperoleh Coastal Contracts berkenaan jelas TA Securities, turut merangkumi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPC) bernilai AS$157.5 juta (RM641.9 juta).
Ia turut memformalkan 'Emergency Work Instruction' (EWI) yang dianugerahkan sebelum ini kepada kontrak EPC dan O&M penuh, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan berkenaan.
Ketika ini ujar firma penyelidikan berkenaan, loji tersebut sudah mencapai pengeluaran gas yang pertama pada 20 Mei 2026, sekali gus menandakan bermulanya kontrak O&M selama tempoh tiga tahun.
Artikel berkaitan: Coastal Contracts raih kontrak RM834.7 juta daripada Pemex bagi loji penapisan gas di Mexico
"Bagi kontrak EPC, kami mengekalkan andaian margin bersih 20% berdasarkan projek infrastruktur kekal sebelum ini, dengan potensi menjana untung RM128.4 juta di peringkat usaha sama," katanya.
Daripada jumlah tersebut jelas TA Securities, kira-kira RM64.2 juta dijangka boleh diagih kepada Coastal Contracts, bersamaan peningkatan sekitar 62% berbanding unjuran keuntungan FY26 sedia ada.
Sumbangan hasil kontrak EPC dijangka diiktiraf sepenuhnya pada suku kedua FY26, bersama-sama projek EPC infrastruktur kekal yang sebelum ini dianggarkan menyumbang keuntungan RM36.7 juta.
Bersandarkan perkembangan tersebut ujarnya,pengiktirafan secara serentak bagi kedua-dua projek EPC ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada prestasi pendapatan kumpulan berkenaan pada FY26.
"Sehubungan itu, kami menaikkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 sebanyak 6.2% hingga 12.9% bagi mengambil kira sumbangan keuntungan berulang daripada segmen O&M," kata TA Securities.
Bagaimanapun, firma tersebut masih belum memasukkan sebarang sumbangan keuntungan daripada kontrak EPC ke dalam model penilaiannya bagi menunggu maklumat lanjut daripada pihak pengurusan.
Ia menaikkan harga sasaran (TP) Coastal Contracts kepada RM2.01 sesaham daripada RM1.96 sebelum ini berdasarkan kaedah penilaian jumlah bahagian (SOP), sambil mengekalkan saranan 'beli'. - DagangNews.com








