MBSB Research: Peluang pekerjaan baharu terus kurang punca kadar pengangguran kembali naik cecah 3.0% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research: Peluang pekerjaan baharu terus kurang punca kadar pengangguran kembali naik cecah 3.0%

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 Jun – Pasaran buruh Malaysia mula menunjukkan tanda sederhana apabila kadar pengangguran meningkat semula dan mencecah 3.0% pada April 2026, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut menambah, jumlah kekosongan jawatan pula terus merosot pada Mei 2026, mencetuskan kebimbangan terhadap peluang pekerjaan terutama dalam kalangan belia dan graduan.


Kadar pengangguran naik daripada 2.9% pada Mac 2026 selepas kekal pada paras tersebut selama lima bulan, dengan meningkat kepada 512,000 orang berbanding 509,000 orang pada bulan sebelumnya.


"Pertumbuhan guna tenaga juga mendatar pada kadar 1.2% tahun, manakala pertumbuhan tenaga buruh susut 0.1%, mencerminkan momentum pengambilan pekerja semakin perlahan," kata MBSB Research lagi.


Kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun kekal tinggi pada 10.2%, menunjukkan cabaran berterusan dalam proses peralihan graduan dan pencarian sengit kerja baharu ke pasaran pekerjaan.


Pada masa sama, permintaan tenaga kerja menunjukkan kelemahan apabila jumlah kekosongan jawatan berkurangan sebanyak 7,500 kepada hanya 114,500 pada Mei 2026 berbanding 122,000 pada April 2026.


Sektor perkhidmatan mencatatkan kemerosotan terbesar dengan kekosongannya jatuh kepada 65,700, akibat pengurangan aktiviti penginapan, makanan dan minuman serta sektor kewangan dan insurans.


 

pasaran buruh_DagangNews2026


Artikel berkaitan: Kadar pengangguran kembali meningkat pada April - DOSM

 

"Sektor pembuatan dan pembinaan pula namun didapati masih mencatatkan peningkatan secara sederhana dalam peluang pekerjaan, masing-masing kepada sebanyak 800 dan 200 jawatan," kata MBSB Research.


Aktiviti pembuatan global yang perlahan turut memberi kesan kepada sentimen pengambilan pekerja apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia susut kepada 49.0 mata pada Mei 2026.


Menurutnya, kelembapan tempahan baharu dan eksport menyebabkan banyak syarikat lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja tambahan walaupun keyakinan perniagaan menunjukkan sedikit peningkatan.


MBSB Research menambah, ketegangan geopolitik, gangguan perdagangan global serta pelaksanaan tarif lebih luas dikhuatiri meningkatkan kos operasi serta mendorong majikan lebih 'tunggu dan lihat'.


"Walaupun berdepan cabaran luaran, kami terus mengekalkan unjuran kadar pengangguran Malaysia pada 3.0% bagi keseluruhan sepanjang tahun ini, tidak berubah berbanding tahun sebelumnya," ujarnya.


Firma itu berpandangan pertumbuhan kerjaya dalam sektor perkhidmatan domestik, perbelanjaan kukuh pengguna serta pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan akan terus menyokong penciptaan pekerjaan.


Selain itu, transformasi sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu kecerdasan buatan (AI) serta teknologi semikonduktor maju dijangka memastikan permintaan kekal kukuh. - DagangNews.com