KUALA LUMPUR 12 Jun – Tawaran awam permulaan (IPO) HSS Holdings Bhd sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia menerima sambutan menggalakkan apabila bahagian yang diperuntukkan kepada pelabur awam terlebih langgan sebanyak 10.56 kali.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HSS berkata sebanyak 25 juta saham baharu ditawarkan kepada orang awam dan IPO itu menerima 5,097 permohonan bagi 289.1 juta saham baharu daripada pelabur Malaysia.
Bagi bahagian Bumiputera, syarikat menerima 2,523 permohonan melibatkan 103.64 juta saham, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 7.29 kali berbanding jumlah saham yang diperuntukkan.
Sementara itu, bahagian awam pula merekodkan 2,574 permohonan bagi 185.45 juta saham, menjadikan kadar terlebih langgan sebanyak 13.84 kali yang mencerminkan minat pelabur yang kukuh terhadap prospek syarikat menjelang penyenaraiannya.
Dalam masa sama, 10 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada individu yang layak menerusi pengagihan borang merah jambu juga habis dilanggan sepenuhnya.
Daripada jumlah hasil penerbitan tawaran tersebut, HSS berhasrat menggunakan sebanyak RM2.57 juta untuk perbelanjaan modal bagi menaik taraf fasiliti pembuatan syarikat.
Selain itu, kira-kira RM4.5 juta pula diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, manakala sebanyak RM2.93 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja semasa.
Baki RM3.5 juta akan menampung kos penyenaraian. Syarikat itu terlibat dalam aktiviti pembekalan produk bakeri, perdagangan produk bakeri dan produk lain serta pembuatan pelbagai produk bakeri.
Menurut HSS, pelan penaiktarafan fasiliti pembuatan termasuk pemasangan barisan pengeluaran biskut baharu, penambahbaikan barisan, automasi proses pengeluaran serta pemasangan kek secara automatik. - DagangNews.com








