Hap Seng Plantations dijangka catat pemulihan kukuh pengeluaran tandan buah segar FY26, RHB Research mulakan liputan saran BELI dengan TP RM2.60 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hap Seng Plantations dijangka catat pemulihan kukuh pengeluaran tandan buah segar FY26, RHB Research mulakan liputan saran BELI dengan TP RM2.60

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Jun - Hap Seng Plantations Holdings Bhd (HAPL) dijangka mencatat pemulihan kukuh dalam pengeluaran tandan buah segar (FFB) pada tahun kewangan 2026 (FY26), didorong keadaan cuaca yang lebih baik selepas beberapa tahun berdepan cabaran operasi akibat faktor cuaca, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan berkata, selepas merekodkan pertumbuhan kecil sebanyak 1.8% pada FY24 dan penurunan kira-kira 6% tahun ke tahun pada FY25, pengeluaran FFB kumpulan menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan apabila meningkat 11.4% dalam tempoh empat bulan pertama FY26 (4M26).

 

Pada masa sama, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat 14.2%, jauh mengatasi pertumbuhan pengeluaran nasional yang hanya sekitar 2% dalam tempoh lima bulan pertama 2026.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan menjangkakan pengeluaran kumpulan akan berkembang sekitar 10% tahun ke tahun pada FY26, meskipun lebih rendah daripada unjuran pengurusan sebanyak 16% hingga 17%, sebelum mencatat pertumbuhan stabil sekitar 5% setahun bagi FY27 hingga FY28.

 

Susulan prospek pertumbuhan yang lebih baik itu, RHB Research yang memulakan liputan terhadap HAPL dengan saranan 'BELI' dan harga sasaran RM2.60 sesaham, mewakili potensi kenaikan sekitar 21% daripada harga semasa.

 

Menurut RHB Research, sebagai syarikat perladangan yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada segmen huluan, HAPL berada dalam kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada persekitaran harga MSM yang kekal tinggi.

 

"Kami menjangkakan harga MSM akan kekal dalam julat RM4,200 hingga RM4,500 satu tan dalam tempoh terdekat, disokong korelasi tinggi dengan harga minyak mentah global serta pelaksanaan mandat biodiesel B50 bermula 1 Julai ini.

 

"Sebagai pemain huluan tulen, setiap perubahan RM100 satu tan dalam harga MSM berpotensi mengubah pendapatan syarikat sebanyak 8% hingga 10%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pulangan Dividen Menarik

Selain prospek pendapatan yang lebih baik, HAPL turut dilihat menawarkan pulangan dividen yang menarik kepada pelabur.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan secara konsisten mengekalkan nisbah pembayaran dividen sekurang-kurangnya 60% daripada keuntungan selepas cukai (PAT), lebih tinggi berbanding purata industri.

 

Langkah itu membolehkan HAPL menawarkan hasil dividen sekitar 3% hingga 8%, berbanding purata sektor sekitar 4%.

 

Setakat FY25, HAPL memiliki kedudukan tunai bersih sebanyak RM646.1 juta atau RM0.81 sesaham tanpa keperluan perbelanjaan modal yang besar, sekali gus memberikan fleksibiliti untuk terus memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham.

 

RHB Research mengunjurkan hasil dividen sekitar 5% hingga 6% bagi FY26 hingga FY28 yang dijangka menjadi pemangkin tambahan kepada prestasi harga saham.

 

Dari segi penilaian, HAPL kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26 sebanyak 10 kali, berada di hujung bawah julat rakan setara antara lapan hingga 13 kali serta satu sisihan piawai di bawah purata sejarahnya.

 

Kumpulan juga memiliki pensijilan penuh Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO), yang menyokong profil kemampanannya. - DagangNews.com