KUALA LUMPUR 12 Jun – Cadangan pemotongan 10% peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikhuatiri mencetuskan krisis yang lebih besar dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara.
Menurut analisis MBSB Research, hospital kerajaan di seluruh negara yang sudah pun berdepan dengan isu kekurangan doktor dan kesesakan pesakit dijangka menerima tekanan operasi yang lebih teruk.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah penjimatan yang melibatkan pengurangan peruntukan daripada RM46.5 bilion boleh memberi kesan langsung kepada pekerja, akses rawatan dan keterjaminan sistem.
"Kami melihat langkah ini memberi kesan negatif khususnya ke atas golongan bergaji kecil, warga emas dan pesakit kronik yang amat bergantung kepada perkhidmatan bersubsidi kerajaan," katanya.
Ujar MBSB Research, tekanan fiskal tersebut berpunca daripada peningkatan mendadak kos subsidi bahan api susulan ketidaktentuan pasaran minyak global akibat konflik berterusan di Timur Tengah.
Perkembangan negatif berkenaan katanya, memaksa pihak kerajaan untuk menilai semula perbelanjaan besar operasi beberapa kementerian utama termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi dan KKM sendiri.
Tambah firma tersebut, usaha pengurangan bajet kesihatan awam bukan sekadar menjimatkan kos semasa kerajaan, tetapi dilihat pada waktu sama juga berisiko meningkatkan lagi perbelanjaan masa depan.
"Kami menjangka lebih ramai pesakit memerlukan rawatan dialisis dan kanser, serta kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat kelewatan diagnosis dan penjagaan pencegahan," kata MBSB Research.
KKM dilaporkan merangka 10 langkah penjimatan termasuk pembekuan pengambilan staf, kawalan kerja lebih masa, pengurangan perjalanan rasmi, penggunaan luas ubat generik dan ujian makmal dihadkan.

Bagaimanapun, firma itu berpandangan beberapa usaha sukar dilaksanakan kerana sistem kesihatan awam ketika ini sudah berdepan kekurangan hampir 11,000 doktor pakar selain isu kesesakan pesakit.
MBSB Research turut memberi amaran sebarang cadangan pengurangan imbuhan doktor dan jururawat, mengakibatkan penghijrahan ke sektor swasta atau ke luar negara seperti Singapura dan Australia.
"Pada masa, beberapa kumpulan kesihatan mencadangkan kerajaan mencari sumber hasil alternatif termasuk menaikkan cukai tembakau, vape, minuman bergula dan aktiviti perjudian," jelasnya.
Dari sudut pelaburan, ia mengekalkan pandangan positif terhadap beberapa syarikat penjagaan kesihatan tersenarai yang dijangka mendapat manfaat besar daripada perubahan struktur tersebut.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham IHH Healthcare Berhad dengan harga sasaran (TP) RM10.18 sesaham kerana kumpulan itu dijangka menjadi penerima utama kemasukan pesakit.
Kelompok berkenaan jelas MBSB Research, berpotensi memilih bagi mendapatkan rawatan di pelbagai hospital swasta bagi mengelakkan tempoh menunggu yang lebih lama di hospital kerajaan," ujarnya.
"Selain itu, Pharmaniaga Berhad turut disyorkan 'beli' dengan TP RM1.44 sesaham memandangkan dasar penggunaan meluas ubat generik meningkatkan permintaan terhadap produk farmaseutikal," tambahnya.
Mandat penjimatan kerajaan yang memberi keutamaan kepada ubat tempatan berpotensi mempercepatkan migrasi bahagian pasaran, sekali gus menyokong pertumbuhan jualan dan pengukuhan kedudukannya.
MBSB Research berpandangan walaupun pemotongan bajet KKM mampu memacu agenda pendigitalan dan kecekapan operasi, langkah itu perlu diimbangi segera dengan ada sumber pendapatan alternatif.
Keadaan ini kata firma penyelidikan tersebut, bagi mengelakkan berlaku pula isu kemerosotan mutu perkhidmatan kesihatan awam dalam tempoh jangka panjang. - DagangNews.com








