MY Value Up utamakan keberkesanan modal, dijangka untungkan syarikat bermodal sederhana dan kecil - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MY Value Up utamakan keberkesanan modal, dijangka untungkan syarikat bermodal sederhana dan kecil - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Jun - Program MY Value Up yang diperkenalkan menerusi Buku Panduan MY Value Up tidak seharusnya dilihat sebagai pemangkin kepada penilaian semula (re-rating) pasaran saham Malaysia secara menyeluruh, sebaliknya lebih berperanan sebagai rangka kerja untuk mengenal pasti syarikat yang berpotensi mencipta nilai jangka panjang.

 

Menurut Apex Securities, inisiatif yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia itu bertujuan mengubah fokus syarikat tersenarai daripada sekadar mengejar pertumbuhan pendapatan kepada menjana pulangan yang melebihi kos modal.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara tradisinya banyak syarikat di Malaysia dinilai berdasarkan pertumbuhan keuntungan, hasil dividen, nilai aset atau keterlihatan buku pesanan.

 

Namun, MY Value Up membawa pendekatan baharu dengan memberi penekanan kepada keberkesanan pengurusan dalam menggunakan modal bagi mencipta nilai kepada pemegang saham.

 

“MY Value Up memperkenalkan persoalan yang lebih penting iaitu sama ada pihak pengurusan menggunakan modal secara cekap untuk menghasilkan pulangan yang melebihi kos modal dan seterusnya meningkatkan nilai syarikat,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Buku panduan yang dilancarkan pada 9 Jun lalu itu merupakan antara inisiatif utama di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 dan dianggap sebagai usaha paling komprehensif negara setakat ini untuk memperkukuh penciptaan nilai korporat, disiplin peruntukan modal serta komunikasi dengan pelabur.

 

Menurut Apex Securities, program tersebut mengambil inspirasi daripada inisiatif serupa yang dilaksanakan di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan bagi menangani diskaun penilaian syarikat serta meningkatkan daya saing pasaran modal.

 

Bagaimanapun, firma itu berpandangan pelabur tidak seharusnya mengharapkan kesan segera dalam bentuk kenaikan penilaian keseluruhan pasaran.

 

Sebaliknya, MY Value Up dijangka membantu pelabur mengenal pasti syarikat yang mempunyai kecekapan modal lebih tinggi, pulangan pemegang saham yang lebih baik dan potensi pertumbuhan mampan.

 

Sementara itu RHB Research berkata, MY Value Up dijangka memberi manfaat paling besar kepada syarikat yang kurang mendapat perhatian pelabur, khususnya syarikat bermodal sederhana dan kecil yang masih mempunyai ruang luas untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham.

 

Menurutnya, syarikat-syarikat berkenaan mempunyai kelebihan dari segi ruang operasi dan kewangan untuk membuka nilai ekuiti menerusi pengoptimuman peruntukan modal serta penambahbaikan dasar pengagihan pulangan kepada pemegang saham.

 

"Rangka kerja ini amat relevan kepada syarikat yang kurang berprestasi atau kurang mendapat perhatian pasaran kerana ia mampu membantu meningkatkan kecekapan modal dan memperkukuhkan nilai syarikat dalam jangka panjang.

 

"Melalui pelaksanaan strategi yang lebih berfokus kepada penciptaan nilai, syarikat berpotensi meningkatkan daya tarikan mereka dalam kalangan pelabur institusi dan runcit," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan pengalaman pasaran serantau, inisiatif seumpama itu lazimnya memerlukan sokongan kitaran pendapatan yang lebih baik serta reformasi struktur yang menyeluruh bagi mencetuskan penilaian semula pasaran secara lebih meluas.

 

Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, kesannya dijangka lebih tertumpu kepada syarikat tertentu berikutan kebanyakan syarikat bermodal besar sudah mengamalkan pengurusan modal yang berdisiplin dan mempunyai hubungan pelabur yang matang.

 

Sehubungan itu, mereka berpendapat program MY Value Up berpotensi menjadi pemangkin kepada peningkatan standard operasi dan perniagaan dalam kalangan syarikat bermodal sederhana dan kecil. - DagangNews.com