Liftech berpeluang catat keuntungan tahunan 10% selepas penyenaraian pada 30 Jun 2026, kata Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Liftech berpeluang catat keuntungan tahunan 10% selepas penyenaraian pada 30 Jun 2026, kata Malacca Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 JunLiftech Group Berhad dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 10.1% dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut Malacca Securities.

 

Perkembangan positif itu ujarnya, didorong oleh ledakan projek perindustrian di seluruh negara serta segmen baharu sistem parkir automatik yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan seterusnya.


Menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 30 Jun 2026, firma itu meletakkan nilai saksama (FV) 35 sen sesaham, mewakili potensi kenaikan 20.7% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 29 sen.


"Kami mengunjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) Liftech naik kepada RM7.5 juta (FY26), RM8.5 juta (FY27) dan RM9.2 juta (FY28)," kata Malacca Securities dalam nota.


Pertumbuhan itu ujar firma penyelidikan berkenaan, disokong oleh peningkatan aliran masuk projek selepas siap kemudahan baharunya di Pulau Pinang dan Sabah serta pengembangan kilang di Perak.


Selain itu jelasnya, kumpulan tersebut dilihat memperoleh banyak manfaat luas daripada kitaran pertumbuhan sektor semikonduktor, elektronik, aeroangkasa dan pusat data (DC) di seluruh negara.


Tambah Malacca Securities, Liftech berada pada kedudukan strategik menjana pelbagai perkembangan stabil industri menerusi rangkaian operasinya yang meliputi lapan fasiliti di seluruh negara.

 

Liftech_DagangNews2026

 

Artikel berkaitan: Liftech sasar kutip RM23 juta di Pasaran ACE, tawar IPO 29 sen libatkan 95 juta saham


"Di samping itu, antara pemangkin utama pertumbuhan baharu kumpulan itu sendiri ialah pengenalan sistem parkir mekanikal dan automatik yang mula diperkenalkan pada FY25, kata firma berkenaan.


Segmen ini mencatat jualan kira-kira RM2 juta tahun lalu dan dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya RM10 juta pada tahun ini, sekali gus membuka sumber pendapatan baharu kepada kumpulan.


Liftech yang sudah beroperasi selama 34 tahun merupakan penyedia rumusan peralatan pengangkatan dan pengendalian, meliputi reka bentuk, pembuatan, pemasangan, pentauliahan, dan penyelenggaraan.


Sehingga tarikh prospektus, syarikat itu berjaya menghantar sebanyak 1,745 unit peralatan industri dan melaksanakan hampir 38,000 kerja penyelenggaraan serta pembaikan mesin di seluruh negara.


"Selain itu, ia memiliki buku tempahan belum dibilkan RM41.6 juta yang dijangka diiktiraf dalam tempoh rerdekat, serta memberikan keterlihatan pendapatan jangka pendek lebih baik," tambahnya.


Dari segi prestasi kewangan ujar Malacca Securities, Liftech merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM6.9 juta pada FY25, naik 4.3% berbanding FY24 walaupun hasil mendatar pada RM57.9 juta.


Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut, sahamnya dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) 13 kali ganda berasaskan unjuran pendapatan sesaham FY27 sebanyak 2.69 sen. - DagangNews.com