Aeronas fail aduan kepada SC, Bursa Malaysia berhubung dakwaan salah laku korporat melibatkan Cape EMS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeronas fail aduan kepada SC, Bursa Malaysia berhubung dakwaan salah laku korporat melibatkan Cape EMS

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun – Syarikat pengeluar pesawat ringan, Aeronas Aerocraft Sdn Bhd memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia berhubung dakwaan beberapa ketidakpatuhan melibatkan syarikat tersenarai, Cape EMS Bhd.

 

Aeronas dalam satu kenyataan memaklumkan aduan tersebut difailkan pada 5 Jun lalu membabitkan tiga dakwaan utama terhadap Cape EMS.

 

Antara dakwaan itu ialah kenyataan awam yang didakwa mengelirukan pelabur serta kegagalan syarikat untuk membuat pendedahan kepada pemegang saham mengenai satu kerjasama perniagaan yang sedang berlangsung.

 

Aeronas turut mendakwa wujud arahan berkaitan pemindahan pegangan ekuiti  yang dikaitkan dengan memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 9 Mac 2025.

 

Anak syarikat milik penuh Cape EMS, Cape Manufacturing (M) Sdn Bhd, sepatutnya menerima pegangan sebanyak 30 peratus dalam Aeronas sebagai pertukaran kepada komitmen tunai berjumlah RM20 juta di bawah MOU tersebut.

 

Bagaimanapun, Aeronas mendakwa walaupun sebanyak RM9.983 juta telah dibayar, pihaknya kemudiannya diarahkan oleh seorang eksekutif kanan Cape EMS untuk memindahkan pegangan 30 peratus itu kepada seorang individu.

 

“Cape EMS telah membuat pembayaran keseluruhan sebanyak RM14.6 juta kepada syarikat itu antara Mac hingga Disember 2025, namun perkara itu tidak diumumkan secara jelas kepada pemegang saham.

 

“Jumlah berkenaan juga melebihi separuh daripada rizab tunai Cape EMS yang berjumlah RM24.34 juta setakat akhir Disember 2025 dan menimbulkan persoalan mengenai tahap ketelusan pendedahan maklumat kepada pasaran,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kes saman RM279 juta: Cape EMS tegaskan MOU bersama AeroNas hanya perbincangan awal, akan lawan di mahkamah

 

Selain itu, Aeronas menyatakan terdapat percanggahan kenyataan oleh Cape EMS berhubung status MOU tersebut, yang pada awalnya digambarkan sebagai tidak mengikat dan bersifat penerokaan.

 

Namun beberapa hari kemudian, Cape EMS dilaporkan mengakui bahawa anak syarikatnya telah membuat pembayaran di bawah perjanjian tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sifat sebenar obligasi kontrak berkenaan.

 

Aeronas menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan pelabur serta pihak awam.

 

Syarikat itu turut menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan ketelusan dan integriti pasaran kekal terpelihara.

 

Sementara itu, wakil Cape EMS dilaporkan ada membuat pengesahan mengenai aduan tersebut dan syarikat telah memberikan maklum balas kepada pihak pengawal selia.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Cape EMS turut memaklumkan bahawa mereka sedang mendapatkan injunksi mahkamah bagi menghalang Aeronas daripada mengeluarkan kenyataan awam lanjut berhubung pertikaian yang sedang berlangsung di mahkamah.

 

Kes ini juga berkait dengan saman berjumlah RM279 juta yang difailkan oleh Aeronas terhadap Cape EMS di Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas dakwaan pelanggaran perjanjian kerjasama berkaitan pembuatan pesawat.

 

Cape EMS bagaimanapun sebelum ini menafikan semua dakwaan tersebut dan memaklumkan bahawa mereka telah memfailkan tuntutan balas terhadap Aeronas serta beberapa pihak lain yang terlibat. - DagangNews.com