RHB Research: Permintaan kenderaan baharu jatuh disebabkan inflasi ancam prospek Bermaz Auto | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Permintaan kenderaan baharu jatuh disebabkan inflasi ancam prospek Bermaz Auto

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 JunRHB Research kekal berhati-hati terhadap prospek Bermaz Auto Berhad susulan risiko peningkatan kos sara hidup dan inflasi yang boleh menjejaskan pembelian kenderaan baharu.

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, situasi negatif itu dikhuatiri mengurangkan trend permintaan walaupun syarikat berkenaan mencatat keuntungan tahun kewangan 2026 yang jauh melebihi jangkaan pasaran.


Justeru, ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) RM1 sesaham, walaupun prestasi kewangan FY26 mengatasi anggaran mereka serta konsensus pasaran.


"Keuntungan teras suku keempat FY26 naik 40% kepada RM45 juta, dan membawa keuntungan tahunan Bermaz Auto kepada RM102 juta meskipun kurang 35% berbanding tahun sebelumnya," kata RHB Research.


Prestasi itu mewakili 125% daripada unjuran, dipacu campuran produk lebih baik dan pengurangan kos operasi apabila syarikat berjaya menguruskan inventori berkos tinggi yang dimiliki sebelum ini.


Margin keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi FY26 mencapai 7.7%, lebih tinggi berbanding jangkaan hanya 5.2%, sekali gus menyumbang kepada prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan firma itu.

 

Artikel berkaitan: Bermaz Auto catat hasil RM544.7 juta pada 4QFY26,  agih dividen 7.25 sen sesaham

 

Bermaz Auto_DagangNews2026



Bermaz Auto ujar RHB Research, turut mengumumkan dividen akhir 3.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen FY26 kepada 7.25 sen sesaham atau nisbah pembayaran 83%, lebih tinggi daripada unjuran.


"Bagi FY27, kami positif terhadap prospek pemulihan hasil disokong peningkatan jualan Mazda serta penamatan kerugian berkaitan jenama Kia yang dianggarkan menjimatkan RM5 juta setahun," katanya.


Ketika ini, Mazda ada tempahan terkumpul 2,000 unit, termasuk 1,300 unit model Mazda 3 dan 100 unit CX-60, dengan penghantaran Mazda 3 kekal stabil pada kadar 300 hingga 500 unit setiap bulan.


Bagaimanapun, RHB Research semakin berhati-hati terhadap penilaian Bermaz Auto, berikutan tekanan inflasi selepas unjuran Indeks Harga Pengguna bagi 2026 disemak naik kepada 2.1% daripada 1.8%.


Menurutnya, peningkatan kos sara hidup berisiko menjejaskan perbelanjaan pengguna, dan memberi kesan jualan automotif, dengan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) susut 5% pada 2026.


"Dengan persaingan sengit segmen kenderaan bukan nasional dan pegangan pasaran Mazda yang hanya 1% setakat tahun ini, ia mungkin berdepan kesukaran memindahkan kos kepada pengguna," tambahnya.


Justeru, RHB Research mengekalkan unjuran pendapatan dan TP saham Bermaz Auto sambil mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' terhadap perkembangan kos operasi dan permintaan pasaran. - DagangNews.com