KUALA LUMPUR 12 Jun – RT Pastry Holdings Bhd dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan dan keuntungan yang stabil sehingga tahun kewangan 2028 disokong oleh pelan pengembangan rangkaian outlet serta peningkatan kapasiti pengeluaran, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata nilai wajar syarikat itu dianggarkan sekitar RM0.22 sesaham, lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM0.18 sesaham, berdasarkan unjuran keuntungan sehingga FY2028 serta kaedah penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PER).
“Bagi unjuran kewangan, hasil RT Pastry dijangka meningkat daripada RM60.3 juta kepada RM81.1 juta menjelang tahun kewangan 2028.
“Dalam tempoh sama, keuntungan bersih (PATAMI) turut dijangka meningkat daripada RM6.0 juta kepada RM8.2 juta,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Syarikat itu terlibat dalam perniagaan pembuatan, peruncitan dan pengedaran produk bakeri seperti roti, pastri, kek serta produk bermusim di bawah jenama RT Pastry®.
Operasi kumpulan tertumpu kepada segmen runcit yang menyumbang kira-kira 97 peratus daripada jumlah hasil, manakala baki 3 peratus datang daripada segmen borong.
Sistem Pengeluaran Berpusat Pacu Kecekapan Operasi
Ketika ini, RT Pastry memiliki 17 outlet runcit dan portfolio produk yang luas merangkumi 549 unit simpanan stok (SKU).
Daripada jumlah tersebut, 338 SKU adalah produk pastri, 142 SKU produk roti, dan 69 SKU merangkumi produk OEM serta produk lain seperti kuih bermusim.
Menurut TA Securities, kelebihan utama syarikat adalah sistem pengeluaran berpusat yang membolehkan kawalan kos lebih efisien serta memastikan konsistensi kualiti produk di semua cawangan.
Syarikat juga memperoleh pensijilan Halal JAKIM bagi kilang di Shah Alam, manakala kilang di Seri Kembangan sedang dalam proses mendapatkan pensijilan Halal, selain pematuhan standard MeSTI, HACCP dan GMP.
Pengembangan Outlet dan Kapasiti Sokong Pertumbuhan Hingga FY2028
Firma tersebut berkata pelan pengembangan syarikat termasuk pembukaan 16 outlet baharu menjelang tahun 2029 di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan sebahagian dibiayai melalui dana IPO dan selebihnya melalui dana dalaman.
“Selain itu, syarikat turut merancang pembangunan fasiliti baharu berkeluasan sekitar 60,000 hingga 80,000 kaki persegi yang merangkumi stor, pengeluaran, R&D dan pentadbiran.
“Kapasiti pengeluaran dijangka meningkat kira-kira 9.8 peratus kepada 2.80 juta unit daripada 2.55 juta unit selepas pengembangan tersebut dilaksanakan,” katanya.
Penggunaan dana IPO turut merangkumi pembelian mesin baharu seperti oven, mixer, depositor, mesin pemotong kek, serta peralatan pembersihan dan pengendalian.
Bagaimanapun, firma itu turut menekankan risiko utama termasuk persaingan sengit dalam industri bakeri, perubahan corak perbelanjaan pengguna, serta turun naik harga bahan mentah. - DagangNews.com







