KUALA LUMPUR 12 Jun - Tealive dan Dutch Lady Milk Industries Berhad melancarkan rangkaian minuman tenusu berperisa teh sedia diminum (RTD) baharu yang diinspirasikan daripada dua minuman ala kafe popular, iaitu teh susu dan matcha.
Dikenali Dutch Lady x Tealive Signature Milk Tea (MooTea) dan Signature Matcha (MeowCha) kedua-dua minuman itu diperkenalkan dalam usaha memenuhi permintaan pengguna yang semakin mengutamakan kemudahan tanpa mengorbankan rasa.
Pelancaran tersebut membolehkan pengguna menikmati minuman ala kafe kegemaran mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja, sama ada di rumah, tempat kerja atau ketika dalam perjalanan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, kerjasama itu tercetus daripada perubahan tingkah laku pengguna yang kini lebih peka terhadap pilihan minuman yang sesuai dengan rutin harian mereka.
Menurut beliau, pengguna masa kini semakin mencari minuman yang menawarkan keseimbangan antara kemudahan, rasa premium dan kesesuaian dengan gaya hidup aktif.
“Pengguna hari ini lebih cenderung memilih minuman yang sesuai dengan rutin harian mereka tanpa perlu berkompromi dari segi kenikmatan rasa. Teh susu dan matcha terus menjadi pilihan ramai kerana sesuai dinikmati sepanjang hari," katanya.
Beliau berkata, MooTea mengekalkan identiti rasa gula perang ikonik Tealive yang digabungkan dengan susu berkrim dan aroma teh yang kaya, manakala MeowCha menampilkan keseimbangan rasa matcha yang lembut dengan tekstur susu yang kaya dan berkrim.
Sementara itu, Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad, Veronika Utami berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk terus berinovasi dalam memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah. - DagangNews.com







