KUALA LUMPUR 12 Jun - Lembaga Tabung Haji (TH) sedang menilai cadangan usaha sama (JV) bagi membangunkan sebidang tanah utama di Tun Razak Exchange (TRX) yang baru diperolehnya, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pulangan pelaburan kepada para pendeposit.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pihaknya kini meneliti pelbagai cadangan pembangunan yang diterima susulan pengambilalihan tanah berkenaan, yang diperoleh menerusi sebahagian penyelesaian sukuk bernilai RM12.5 bilion daripada Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
Beliau berkata, TH sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pemaju yang terlibat dalam pembangunan TRX dan tidak menolak kemungkinan membentuk usaha sama dengan mana-mana pihak yang mampu menawarkan pulangan pelaburan yang memenuhi sasaran dana tersebut.
“Kami sedang mempertimbangkan beberapa cadangan yang diterima untuk pembangunan masa depan tanah itu.
“Sekiranya terdapat cadangan yang mampu memberikan pulangan yang memuaskan, ia boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dengan salah satu pemaju yang berjaya membangunkan projek di TRX,” katanya lapor NST.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan harga pengambilalihan tanah tersebut, namun menegaskan transaksi berkenaan dilaksanakan secara telus berdasarkan nilai pasaran semasa.
Menurut Abdul Rashid, pengambilalihan itu merupakan kali kedua TH menilai aset berkenaan selepas ia sebelum ini dipindahkan kepada Urusharta Jamaah dalam proses penstrukturan semula aset.
“Kali ini kami dapat memasuki semula pelaburan itu pada harga yang jauh lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata, prospek pembangunan TRX kini semakin kukuh susulan peningkatan minat pelabur asing terhadap aset strategik di Malaysia.
“Terdapat aliran kemasukan pelabur asing ke Malaysia terutama ke kawasan strategik. TRX yang pada awalnya mencatat kadar pengambilan yang perlahan kini semakin mendapat momentum.
“Kami yakin pengambilalihan ini merupakan langkah yang tepat,” katanya.
Ladang Di Sarawak
Selain aset di TRX, TH turut memperoleh ladang seluas 8,756.92 hektar di Sarawak sebagai sebahagian lagi penyelesaian pembayaran sukuk yang telah ditebus.
Nilai gabungan tanah di TRX dan ladang berkenaan dianggarkan berjumlah RM965 juta berdasarkan penilaian pasaran semasa.
Abdul Rashid berkata, pengambilalihan ladang tersebut selari dengan strategi jangka panjang TH untuk memperkukuh pegangan bank tanah dalam sektor perladangan.
Katanya, kekurangan aset ladang yang berdaya maju di Malaysia menjadikan pemerolehan itu sebagai peluang strategik untuk mengembangkan portfolio pelaburan kumpulan.
“Ladang itu diperoleh berdasarkan nilai perusahaan dan kini berada dalam keadaan menguntungkan.
“Dengan harga minyak sawit semasa yang kekal kukuh, kami percaya aset ini akan memberikan sumbangan positif kepada prestasi portfolio TH pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com







