TA Securities: Eckem bersedia manfaatkan potensi industri kimia khusus bernilai RM23 bilion menjelang 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities: Eckem bersedia manfaatkan potensi industri kimia khusus bernilai RM23 bilion menjelang 2027

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Jun — Permintaan tinggi terhadap bahan kimia khusus dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan industri kimia tempatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata TA Securities.

 

Justeru firma penyelidikan itu menambah, Eckem Holdings Berhad dalam kedudukan sesuai memanfaatkan nilai pasaran segmen tersebut yang diunjurkan berkembang luas kepada RM22.5 bilion menjelang 2027.

 

Bersandarkan kepada prospek berkenaan, ia berpandangan positif terhadap potensi pertumbuhan hasil kumpulan tersebut yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dalam masa yang terdekat.

 

"Kami mendapati syarikat itu berada dalam posisi yang cukup strategik untuk merebutkan peluang besar pertumbuhan permintaan produk kimia dalam pelbagai sektor perindustrian," jelas analisis TA Securities.

 

Eckem ujarnya, merupakan pemain bahan kimia industri khusus terlibat pembekalan, pengedaran dan formulasi produk kimia bagi industri cat, pembinaan, automotif serta peralatan perlindungan diri (PPE).

 

Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu menerbitkan 125 juta saham baharu dan tawaran jualan 62.5 juta saham pada harga 12 sen sesaham, yang juga meletakkan nilai pasaran mampu mencecah RM75 juta.

 

Kumpulan itu kata TA Securities, memiliki kelebihan kompetitif menerusi lebih 310 produk, rangkaian pembekal antarabangsa serta keupayaan teknikal dalam rumusan tersuai mengikut keperluan pelanggan.


 

Eckem_DagangNews2026

 

"Segmen pengedaran dan formulasi bahan kimia industri khusus menjana 92.5% daripada hasil Eckem, manakala baki oleh kerja pembuatan dan perdagangan produk getah seperti lembaran lateks," ujarnya.

 

Firma berkenaan menjangka syarikat tersebut mencatat pertumbuhan dalam tiga tahun dengan keuntungan bersih diunjurkan bertambah kepada RM5.2 juta pada FY26, RM5.8 juta (FY27) dan RM6.2 juta (FY28).

 

Prospek itu jelas TA Securities, disokong strategi perluasan rangkaian produk, penembusan pasaran, pembinaan kemudahan operasi baharu serta langkah penggandaan kapasiti pengeluaran produk getah.

 

Ia menjangka kedudukan kewangan Eckem lebih kukuh selepas penyenaraian apabila nisbah penggearan bersih diunjur susut kepada 0.4 kali berbanding 0.8 kali sebelum ini hasil penggunaan dana IPO itu kelak.

 

"Kami meletakkan nilai wajar (FV) 14 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 15 kali unjuran hasil FY27, mewakili diskaun 60% berbanding purata syarikat setara industri," katanya.

 

Bagaimanapun ujar TA Securities, antara risiko utama perlu diberi perhatian termasuk harga minyak mentah, kebergantungan kepada pembekal utama dan ketiadaan kontrak jangka panjang dengan pelanggan.

 

Walaupun berdepan dengan persaingan sengit dan tekanan harga daripada pembekal kos rendah khususnya dari China, ia percaya prospek Eckem akan menyokong prestasi jangka panjang. - DagangNews.com