KUALA LUMPUR 15 Jun – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menggesa tindakan segera dan bersepadu diambil bagi memperkukuh pasaran buruh negara susulan peningkatan kadar pengangguran kepada 3% peratus pada April 2026.
Data tersebut didedahkan dalam Laporan Statistik Tenaga Buruh terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata perkembangan tersebut mencerminkan cabaran berterusan ekonomi domestik dalam menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi, berkualiti dan mampan kepada tenaga kerja negara.
“Antara cadangan utama ialah penubuhan Pasukan Petugas Pemerkasaan Pasaran Buruh merentas kementerian melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan.
“Pasukan petugas ini dicadangkan untuk menyelaras pelaksanaan dasar dan intervensi pasaran buruh secara lebih bersepadu serta berasaskan data,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, MASA turut mencadangkan pengukuhan insentif penggajian kepada majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menggalakkan penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu terutama untuk golongan belia dan penganggur.
Beliau berkata program latihan semula dan peningkatan kemahiran juga perlu diperkasakan melalui kerjasama kerajaan, institusi latihan dan industri.
“Fokus utama latihan itu adalah kepada sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi, analitik data dan ekonomi hijau.
“Kami juga menyarankan agar Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan bakat negara dengan menyediakan lebih banyak peluang latihan industri, program pembangunan bakat serta pengambilan graduan baharu ke dalam ekonomi formal,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran kembali meningkat pada April - DOSM
Menurut MASA, isu pengangguran bukan sekadar indikator statistik, tetapi mencerminkan tahap kesejahteraan rakyat dan keupayaan ekonomi negara dalam menjana peluang berkualiti.
Sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan, industri dan institusi pendidikan perlu memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan pasaran buruh kekal berdaya tahan dan inklusif.
“Usaha segera dan terselaras diperlukan bagi memastikan isu pengangguran dapat ditangani secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.

MASA berpandangan peningkatan kadar pengangguran nasional ini perlu dilihat daripada perspektif struktur pasaran buruh yang lebih luas.
Menurut data DOSM, bilangan penganggur meningkat kepada 511,800 orang pada April 2026 berbanding 509,000 orang pada Mac 2026, iaitu kenaikan 0.6 peratus.
Berdasarkan data dalam Statistik Bumiputera 2025, komuniti Bumiputera secara konsisten mewakili lebih 70 peratus daripada keseluruhan jumlah penganggur warganegara sejak tahun 2022.
● Pada tahun 2022, seramai 391,900 daripada 549,100 penganggur warganegara (71.4 peratus) terdiri daripada Bumiputera.
● Pada tahun 2023, jumlah tersebut adalah seramai 354,900 orang daripada 483,700 penganggur warganegara (73.4 peratus).
● Pada tahun 2024, seramai 336,300 daripada 463,900 penganggur warganegara (72.5 peratus) adalah Bumiputera.
Bersandarkan pola ini, peningkatan jumlah penganggur kepada 511,800 orang pada April 2026 berpotensi memberikan kesan yang lebih besar kepada komuniti Bumiputera sekiranya trend struktur tersebut berterusan.
Cabaran ini tidak hanya berkait dengan ketersediaan peluang pekerjaan semata-mata tetapi turut melibatkan isu ketidakpadanan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan, kebergantungan kepada sektor berproduktiviti rendah serta penglibatan yang tinggi dalam sektor pekerjaan tidak formal dan ekonomi gig.
Justeru, usaha memperkukuh daya saing tenaga kerja dan meningkatkan kebolehpasaran graduan perlu menjadi antara agenda utama dalam memperkasakan pasaran buruh negara. - DagangNews.com








