KUALA LUMPUR 15 Jun - Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) dijangka mendapat manfaat daripada pembangunan terkini rumusan pembungkusan baharu bagi modul kuasa berasaskan Voltage Power Delivery (VPD) yang menyasarkan aplikasi pusat data kecerdasan buatan (AI).
CIMB Securities berkata, pembangunan tersebut berpotensi membuka saluran pertumbuhan baharu kepada kumpulan ketika permintaan global terhadap infrastruktur AI terus meningkat.
Menurut firma penyelidikan itu, MPI kini sedang membangunkan rumusan berkenaan di kemudahan Carsem Suzhou miliknya, dengan pengeluaran secara besar-besaran dijangka bermula pada tahun kewangan 2027 (FY27).
"Kami percaya pembangunan ini akan menyediakan satu lagi pemacu pertumbuhan kepada hasil berkaitan AI bagi FY27 hingga FY28," katanya dalam nota penyelidikan.
Firma itu turut menjangkakan peningkatan penggunaan seni bina rak pelayan 800 VDC akan merangsang permintaan yang lebih tinggi terhadap penyelesaian kuasa jalur lebar (wide bandgap power solutions), sekali gus mewujudkan peluang nilai kandungan yang lebih besar kepada MPI.
Sehubungan itu, CIMB Securities menganggarkan hasil berkaitan AI akan menyumbang sekitar 20% hingga 25% daripada keseluruhan hasil kumpulan bagi FY27 hingga FY28.
Dalam masa sama, firma penyelidikan itu mengulangi saranan "Beli" terhadap MPI dan menaikkan harga sasaran saham syarikat kepada RM57 sesaham berbanding RM50 sebelum ini.
Menurutnya, penyusutan harga saham sektor teknologi baru-baru ini menyediakan peluang yang menarik untuk pelabur mengumpul saham MPI memandangkan prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat kekal kukuh.
CIMB Securities turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY28 MPI sebanyak 9.1%, mengambil kira pertumbuhan lebih kukuh dalam segmen modul kuasa generasi baharu serta aktiviti penambahan semula inventori dalam sektor automotif.
"Semakan ini mencerminkan prospek pertumbuhan yang lebih baik dalam segmen teknologi kuasa serta pemulihan permintaan daripada pelanggan automotif," katanya.
Firma itu kini menjangkakan MPI mencatat pertumbuhan keuntungan bersih teras terkumpul sebanyak 32% bagi tempoh FY25 hingga FY28, disokong oleh peningkatan sumbangan daripada aplikasi AI dan pengukuhan permintaan dalam beberapa segmen utama. - DagangNews.com








