Pelabuhan Tanjung Pelepas sasar kendali 16 juta TEU kargo menjelang 2029 atasi rekod 14 juta TEU 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabuhan Tanjung Pelepas sasar kendali 16 juta TEU kargo menjelang 2029 atasi rekod 14 juta TEU 2025

KUALA LUMPUR 15 Jun - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menyasarkan jumlah kendalian tahunan sebanyak 16 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) menjelang 2029, meningkat daripada rekod 14 juta TEU yang dicatatkan tahun lalu, susulan pelan peluasan kapasiti bagi memenuhi lonjakan permintaan global.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Hardiman, berkata pelabuhan berkenaan merekodkan hampir 1.3 juta TEU pada Mei lalu, iaitu jumlah bulanan tertinggi dalam sejarah operasinya.

 

Beliau berkata pertumbuhan itu banyak didorong oleh perubahan rangkaian perkapalan global, khususnya selepas penubuhan kerjasama Gemini antara Maersk dan Hapag-Lloyd pada 2025.

 

“PTP menjadi hab global utama bagi laluan Gemini, dan ini menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan volum kami,” katanya lapor FMT.

 

Bagi menyokong sasaran 2029 itu, beliau berkata PTP akan menyiapkan projek Berth Zero yang akan menambah 360 meter dermaga serta empat kren tambahan kepada infrastruktur sedia ada.

 

Katanya lagi, zon bebas pelabuhan kini telah mencapai tahap penghunian kira-kira 95%, dengan perkembangan masa depan dijangka sejajar dengan peluang daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

 

Fokus penyahkarbonan dan elektrifikasi

Dalam masa sama, PTP mempercepatkan usaha penyahkarbonan susulan ketegangan geopolitik dan kenaikan harga bahan api yang mengukuhkan justifikasi ke arah elektrifikasi operasi pelabuhan.

 

Pelabuhan itu menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang 2030 dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

PTP kini telah mengelektrifikasikan sepenuhnya 67 kren dermaga dan 234 kren gantri bergetah (RTG), menjadikannya pelabuhan pertama di Malaysia dengan operasi peralatan terminal sepenuhnya elektrik.

 

Pelabuhan itu turut mengendalikan lebih 600 prime movers yang sedang dalam proses elektrifikasi, dengan 52 unit elektrik dijangka beroperasi menjelang September, manakala tambahan 76 unit lagi sedang dipertimbangkan untuk elektrifikasi.

 

Selain itu, PTP turut menyertai program Tarif Tenaga Hijau bersama Tenaga Nasional Bhd dan memperoleh peruntukan tenaga boleh diperbaharui sehingga hujung tahun hadapan, selain memperluaskan pemasangan solar di atas bumbung fasiliti operasinya.

 

Dalam usaha memperkukuh amalan mampan, PTP turut bekerjasama dengan Port of Melbourne melalui memorandum persefahaman yang dimeterai tahun lalu bagi perkongsian amalan terbaik melibatkan penyahkarbonan, bahan api alternatif dan operasi pelabuhan. - DagangNews.com