Pengguna berbelanja tinggi punca nilai jualan naik cecah RM175 bilion bagi April 2026 — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengguna berbelanja tinggi punca nilai jualan naik cecah RM175 bilion bagi April 2026 — TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Jun — Trend perbelanjaan pengguna terus menunjukkan daya tahan apabila nilai jualan sektor perdagangan bertambah 15.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM174.85 bilion bagi April 2026.

 

Menurut TA Securities, prestasi kukuh itu didorong oleh peningkatan aktiviti pengguna, meskipun risiko inflasi dan ketidaktentuan harga tenaga global masih menjadi kebimbangan utama ekonomi negara.

 

Situasi positif itu turut dipacu keadaan pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan pendapatan isi rumah dan kesan perbelanjaan tinggi bersempena Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung pada Mac 2026.

 

"Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) berkembang 6.2% YOY kepada 170.7 mata pada April 2026, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 4.4% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya," jelas firma berkenaan.

 

Tambah TA Securities, pertumbuhan nilai jualan yang lebih pantas menunjukkan ia dipacu faktor harga, khususnya segmen perdagangan borong bahan api susulan kenaikan harga minyak mentah global.

 

Segmen perdagangan borong yang mewakili hampir 45% daripada keseluruhan perdagangan pengedaran mencatat pertumbuhan volum 7.3% YoY dengan nilai jualan meningkat 24.1% kepada RM83.53 bilion.


 

PKS_DagangNews2026

 

Selain itu, segmen kenderaan bermotor tumbuh 13.6% selepas merekodkan penguncupan pada bulan sebelumnya, manakala sektor runcit berkembang 3.9% dengan nilai jualan mencecah RM70.95 bilion.

 

"Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, DTI berkembang secara purata kira-kira 5.2%, disokong oleh faktor prestasi positif daripada sektor borong, runcit dan automotif," ujar TA Securities.

 

Ia berpandangan penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu pertumbuhan pada 2026, didorong peningkatan pendapatan, pasaran pekerjaan serta pelbagai inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran pertumbuhan penggunaan swasta pada kadar 5.5% bagi 2026 dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.3% hingga 4.7%.

 

Selain permintaan domestik jelas TA Securities, sektor pelancongan juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi menerusi pelbagai aktiviti berkaitan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

 

"Bagaimanapun, kami mengingatkan isu kenaikan berterusan harga minyak dunia rasionalisasi subsidi petrol boleh menjejaskan kuasa beli dan berisiko kepada prospek perbelanjaan masa depan," katanya.

 

Walaupun tekanan inflasi masih terkawal, perkembangan harga tenaga global menjadi faktor utama perlu dipantau kerana berpotensi memberi kesan besar kepada corak perbelanjaan pengguna. - DagangNews.com