Keputusan Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal NSM telah mewujudkan lompang keupayaan yang perlu diisi dengan pantas bagi menjamin kesiapsiagaan armada TLDM.
Dalam konteks ini, tawaran syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan untuk membekalkan peluru berpandu antikapal ATMACA dilihat sebagai antara pilihan paling praktikal dan pantas.
Firma itu juga bersedia untuk membekalkan semua sistem yang diperlukan mengikut tahap keserasian dan keperluan operasi TLDM.
Kelebihan utama ATMACA dalam ekosistem TLDM kerana persenjataan tersebut telah dipilih untuk kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 yang sedang dibina di Turkiye.


Keadaan ini mewujudkan keseragaman logistik, latihan dan penyelenggaraan antara aset-aset baharu TLDM.
Pada masa sama, Roketsan turut menawarkan kepakaran bagi melaksanakan pengubahsuaian konfigurasi sistem tempur LCS supaya serasi dengan ATMACA.
Tawaran tersebut mampu mengurangkan risiko integrasi yang lazim berlaku apabila sistem baharu dipasang pada platform sedia ada.
Lebih penting, ATMACA telah melalui pelbagai siri ujian operasi termasuk dalam persekitaran peperangan elektronik yang mencabar.
Rekod prestasi tersebut memberikan keyakinan bahawa sistem berkenaan mampu memenuhi keperluan operasi TLDM.


Namun begitu, penyelesaian isu NSM tidak semestinya terhad kepada pilihan Turkiye semata-mata.
Setidak-tidaknya, satu atau dua kapal LCS yang telah siap perlu diputuskan segera apakah sistem peluru berpandu antikapal pengganti kerana sehingga kini Norway kekal dengan pendirian membatalkan eksport tersebut.
Perancis juga muncul sebagai rakan strategik yang berpotensi membantu Malaysia mencari jalan keluar daripada kemelut ini.
Perkembangan itu menyusul selepas Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawatnya dari Perancis sempena Dialog Shangri-La 2026 di Singapura bulan lepas.
Beliau bertemu dengan Menteri Angkatan Tentera dan Hal Ehwal Veteran Perancis, Catherine Vautrin bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.


Menerusi perkongsian Mohamad Khaled dalam laman Facebook beliau, antara perkara yang diberikan perhatian ialah pembangunan keupayaan pertahanan, industri pertahanan, keselamatan maritim dan perkembangan strategik semasa di rantau Indo-Pasifik.
Turut menjadi fokus utama ialah cadangan penyelesaian bagi memenuhi keperluan sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) TLDM.
Pertemuan antara Menteri Pertahanan Malaysia dan rakan sejawatnya dari Perancis membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih komprehensif.
Ini kerana LCS TLDM dibina berasaskan reka bentuk Gowind yang berasal dari Perancis.
Oleh itu, penglibatan syarikat pertahanan Perancis dalam proses integrasi sistem peluru berpandu baharu berpotensi mengurangkan cabaran teknikal.


Perancis mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan sistem persenjataan maritim yang serasi dengan platform Gowind.
Justeru, kerjasama dengan Perancis boleh mempercepatkan proses penyesuaian sistem tempur LCS.
Apa yang paling penting ialah kerajaan perlu membuat keputusan secara cepat dan berpandukan keperluan operasi TLDM.
Kelewatan membuat keputusan hanya akan meningkatkan kos dan menjejaskan jadual penyerahan kapal.
TLDM memerlukan sistem peluru berpandu yang terbukti berkesan, boleh diintegrasikan dengan lancar dan mampu disokong dalam jangka panjang.


Dalam hal ini, kedua-dua pilihan ATMACA atau Exocet dilihat mempunyai kelebihan kerana sudah berada dalam ekosistem perolehan TLDM.
TLDM mempunyai pengalaman 40 tahun mengoperasikan peluru berpandu antikapal Exocet bermula dengan MM38 pada 1975 diikuti MM40 dan SM38 untuk kapal selam.
Keseragaman jenis peluru berpandu juga boleh mengurangkan kos latihan, inventori alat ganti dan pengurusan logistik.
Selain itu, hubungan pertahanan yang semakin erat antara Malaysia dan Turkiye memberi nilai tambah kepada kerjasama tersebut.
Pada masa yang sama, penglibatan Perancis sebagai rakan teknikal dan strategik juga tidak boleh diketepikan.
Pendekatan terbaik mungkin melibatkan gabungan kepakaran Turkiye sebagai pembekal misil dan Perancis sebagai rakan integrasi platform.
Model kerjasama sedemikian berupaya mengurangkan risiko teknikal serta memastikan projek LCS dapat disiapkan mengikut jadual.
Lebih penting, ia memastikan keupayaan tempur permukaan TLDM tidak terjejas dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Kerajaan perlu melihat isu NSM bukan sekadar masalah perolehan, tetapi sebagai peluang memperkukuhkan kerjasama pertahanan dengan rakan strategik yang lebih fleksibel.
Sekiranya keputusan yang tepat dibuat dalam tempoh terdekat, krisis NSM boleh ditukar menjadi pemangkin kepada pembinaan armada TLDM yang lebih berdaya tahan, bersepadu dan bersedia menghadapi ancaman masa hadapan.- DagangNews.com








