Syarat kawal selia Thailand selesai, penstrukturan Capital A hampir lengkap - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarat kawal selia Thailand selesai, penstrukturan Capital A hampir lengkap - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Proses penstrukturan semula kumpulan penerbangan di bawah Capital A Berhad dan AirAsia X Bhd (AAX) kini hampir selesai, selepas kedua-dua pihak berjaya menyempurnakan syarat terakhir berkaitan kelulusan pihak berkuasa Thailand.

 

MBSB Research berkata, penepian syarat Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand berkaitan pengecualian tawaran tender mandatori bagi Asia Aviation PCL (AAV) – syarikat tersenarai di Thailand yang memiliki Thai AirAsia (TAA) – telah menghapuskan risiko pengawalseliaan terakhir yang menghalang penyelesaian penjualan unit penerbangan Capital A.

 

“Dengan selesainya syarat pengawalseliaan di Thailand, pihak terlibat dijangka mengisytiharkan semua syarat terdahulu telah dipenuhi, menjadikan Perjanjian Jual dan Beli Saham (SSPA) bagi AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) bersifat tanpa syarat menjelang akhir Oktober,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Tarikh tersebut juga menandakan tarikh akhir pelupusan unit penerbangan Capital A selepas melalui enam kali lanjutan tempoh. Penyelesaian penuh urus niaga itu dijangka selesai menjelang Disember 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perjanjian tambahan ketiga yang dimeterai antara Capital A dan AAX turut memperkenalkan mekanisme baharu bagi tawaran tender melalui rakan kongsi tempatan Thailand, yang akan membiayai sepenuhnya tawaran tersebut tanpa menjejaskan pegangan sedia ada AAX sebanyak 40.71% dalam AAV.

 

Katanya, AAV akan terus disenaraikan di Bursa Thailand, manakala operasi harian Thai AirAsia kekal tidak terjejas.

 

“Dengan transaksi ini semakin hampir untuk diselesaikan, laluan untuk Capital A keluar daripada status PN17 kekal utuh. Syarikat juga dijangka memohon pengecualian daripada keperluan untuk mencatatkan keuntungan bagi dua suku berturut-turut memandangkan telah memenuhi syarat utama lain,” katanya.

 

MBSB Research berkata, langkah seterusnya termasuk pelaksanaan penempatan swasta bernilai RM1 bilion, pengurangan modal, serta penyenaraian saham baharu di bawah entiti AirAsia Group Sdn Bhd (AAG) yang akan mengambil alih status penyenaraian AAX dan menyatukan semua operasi syarikat penerbangan berjenama AirAsia di bawah satu kumpulan tersenarai.

 

Walaupun potensi risiko kini berkurang, penganalisis menurunkan penarafan saham Capital A kepada "neutral" daripada beli dengan harga sasaran 95 sen sesaham, menandakan saham kini dinilai pada tahap wajar selepas mengambil kira pelupusan unit penerbangan tersebut. - DagangNews.com