KUALA LUMPUR 11 Sept – Sunway Berhad terus mengukuhkan kedudukan di Singapura selepas berjaya memenangi tender kedua di Chuan Grove melalui usaha sama dengan Sing Holdings, kata penganalisis.
Ia sekali gus meningkatkan pendedahan hartanah kumpulan berkenaan di republik tersebut, dengan MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dan harga sasaran (TP) tidak berubah RM5.06 sesaham.
Menurut firma itu, kejayaan memperoleh tanah kedua seluas 14,514 meter persegi di Chuan Grove yang bernilai S$623.91 juta (kira-kira RM2.05 bilion) merupakan satu langkah strategik syarikat.
"Ini pula diraih selepas kejayaan terdahulu pada Julai 2025 membabitkan tanah seluas 15,831 meter persegi yang bernilai S$703.6 juta (RM2.33 bilion)," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Harga tender untuk projek kedua itu pula tambahnya, didapati lebih rendah sebanyak 3.3% setiap kaki persegi, yang menunjukkan kebijaksanaan strategi bidaan kumpulan hartanah berkenaan sendiri.
Sunway dijangka membangunkan sejumlah 500 unit kediaman di atas tanah tersebut, namun impak pendapatan dijangka hanya mula dirasai pada FY27 dengan pelancaran projek diramal dalam 1HFY27.
Justeru, MBSB Research tidak mengubah unjuran pendapatan bagi tahun kewangan FY25 hingga FY27, tetapi nisbah hutang bersih dijangka meningkat kepada 0.47 kali berbanding 0.42 kali pada 2QFY25.
"Tambahan pula, prestasi projek semasa seperti Otto Place di Tengah Plantation Close menunjukkan petunjuk kukuh, dengan kadar pengambilan mencecah 91% setakat Ogos 2025," kata firma berkenaan.
Artikel berkaitan: Sunway, Sing Holdings bangunkan projek perumahan RM2.05 bilion di Singapura
Bagaimanapun RHB Research berbeza pendirian dengan mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan TP kepada RM5.83 daripada RM5.81, memberi unjuran pulangan sekitar 10% termasuk hasil dividen 2%.
Katanya, pembelian dua tanah bersebelahan di Chuan Grove membolehkan Sunway membangunkan projek berskala besar berjumlah 1,050 unit kediaman yang dijangka memberikan kecekapan kos pembinaan.
Dua tanah itu dalam lokasi strategik berhampiran Stesen MRT Lorong Chuan, dan hanya satu hentian dari hab pertukaran Bishan, menjadikan projek ini menarik untuk segmen pasaran pertengahan.
"Kami menganggarkan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi tanah kedua sekitar S$1.5 bilion (kira-kira RM4.93 bilion), berdasarkan harga jualan purata S$2,700 (RM8,885) sekaki persegi," katanya lagi.
Pelancaran unit perumahan bagi tanah pertama dijangka pada 2H26, manakala unit kediaman di tanah kedua akan menyusul pada 1H27, tetapi impak pendapatan Sunway hanya akan dirasai bermula FY28.
Kumpulan hartanah itu turut disokong oleh jualan belum dibil sebanyak RM3.7 bilion dan buku tempahan pembinaan berjumlah RM6.7 bilion, yang menjadi pemangkin kepada pendapatan jangka pendek.
RHB Research turut menambah nilai penilaian dengan memasukkan premium ESG sebanyak 8% kerana syarikat itu memiliki skor ESG 3.4 daripada 4, yang memperkukuh justifikasi kenaikan TP tersebut.
"Strategi Sunway untuk memperkukuh kedudukan di pasaran hartanah Singapura dilihat berjaya dan kami optimistik dengan unjuran pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang yang teguh," katanya.
Pelabur boleh mempertimbangkan kedudukan semasa dengan mengambil kira potensi hasil projek, penyenaraian Sunway Healthcare serta strategi hartanah yang rentas sempadan. - DagangNews.com








