Sunway, Sing Holdings bangunkan projek perumahan RM2.05 bilion di Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway, Sing Holdings bangunkan projek perumahan RM2.05 bilion di Singapura

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Sept – Sunway Bhd mengumumkan usaha sama strategiknya dengan syarikat pemaju Singapura, Sing Holdings Residential Pte Ltd (SHRPL) berjaya memenangi tender pembangunan perumahan di Singapura dengan nilai S$623.91 juta (bersamaan kira-kira RM2.05 bilion) untuk tempoh pajakan selama 99 tahun.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu tender membabitkan pembangunan sebidang tanah di Chuan Grove, Singapura itu dianugerahkan oleh Urban Redevelopment Authority of Singapore (URA) pada hari ini.

 

Tanah berkeluasan sekitar 14,514.3 meter persegi itu terletak di Lot 19064A, Mukim 18, Singapura.

 

Menurut kenyataan itu, pembangunan ini akan dilaksanakan oleh Chuan Grove Pte Ltd, syarikat usaha sama yang dimiliki SHRPL dan Sunway Developments Pte Ltd (SDPL) masing-masing pada nisbah 65:35.

 

SDPL merupakan anak syarikat milik penuh Sunway Holdings Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Sunway Bhd. 

 

Sementara itu, SHRPL ialah anak syarikat milik penuh Sing Holdings Limited, syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Saham Singapura (SGX).

 

“Projek yang dicadangkan ini dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan Sunway bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027,” menurut kenyataan itu.

 

Sunway turut mengingatkan bahawa projek ini tertakluk kepada risiko biasa dalam pembangunan hartanah, termasuk: turun naik harga bahan mentah, perubahan kadar faedah dan ketidaktentuan kitaran pasaran hartanah.

 

Namun begitu, Sunway yakin bahawa pengalaman dan rekod prestasi kukuh SHRPL dan SDPL dalam sektor pembangunan hartanah akan membantu mengurangkan risiko-risiko tersebut.

 

Syarikat turut menegaskan bahawa tiada sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kalangan pengarah atau pemegang saham utama Sunway terhadap projek berkenaan. - DagangNews.com