Sunview perlu dana besar biayai pembelian aset solar, projek tenaga boleh diperbaharui – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunview perlu dana besar biayai pembelian aset solar, projek tenaga boleh diperbaharui – TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 MeiSunview Group Berhad berdepan keperluan modal yang besar bagi membiayai pengambilalihan aset solar dan projek mega tenaga boleh diperbaharui (RE), menurut TA Securities.


Sehubungan itu ujar firma penyelidikan tersebut, situasi berkenaan menjadikan pelupusan pegangan dalam Winstar Capital Berhad sebagai antara langkah penting bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.


Jelasnya, walaupun ia membatalkan cadangan mandat pelupusan ekuiti 22.4% dalam Winstar Capital Berhad, keputusan itu hanyalah disebabkan isu teknikal dan bukannya pembatalan pelan pelupusan.


"Sunview masih berhasrat menjual pegangan itu kepada beberapa pembeli berpotensi dan akan membuat pengumuman lanjut mengikut keperluan penyenaraian Bursa Malaysia," kata TA Securities dalam nota.


Usaha pelupusan itu membolehkan ia menambah baik aspek pelaburannya dan menggunakan anggaran hasil RM30.1 juta untuk mengembangkan perniagaan kejuruteraan solar serta mengurangkan pinjaman.


Langkah penjualan ekuiti itu jelas firma penyelidikan berkenaan, adalah penting memandangkan kadar nisbah gearan atau hutang bersih kumpulan tersebut masih lagi tinggi iaitu 1.26 kali bagi FY25.


Menurut TA Securities, Sunview ketika ini sedang mengambil alih dua aset solar berskala besar (LSS4) dengan kapasiti gabungan 100MW yang dijangka siap menjelang akhir tempoh suku kedua 2026.


"Kami menganggarkan keperluan dana segera bagi pengambilalihan ini sekitar RM125 juta dan boleh naik kepada RM245 juta termasuk kos tambahan menyiapkan salah satu aset solar berkenaan," katanya.
 

Sunview_DagangNews

 

Selain itu, kumpulan tersebut memperoleh kontrak bernilai RM1.96 bilion bagi pembinaan loji solar terapung 595MWac milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kenyir, Terengganu melalui usaha sama (JV).


Bagaimanapun, TA Securities berpandangan keperluan modal kerja projek itu lebih mudah diperoleh Sunview, memandangkan TNB merupakan pelanggan akhir yang mempunyai profil kewangan cukup kukuh.


Dalam perkembangan lain, firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan itu sudah melengkapkan siri terbitan peringkat kedua penempatan persendirian yang setakat ini berjaya mengumpul RM9.6 juta.


"Aktiviti penerbitan ini dijangka dapat membantu syarikat berkenaan untuk mengurangkan gearan bersih kepada sekitar 1.06 kali daripada sebanyak 1.26 kali yang dicatatkan sebelum itu," tambahnya lagi.


TA Securities menganggarkan masih ada baki 26.9 juta saham yang boleh diterbitkan di bawah usaha penempatan persendirian tersebut yang berpotensi menjana tambahan antara RM8 juta hingga RM9 juta.


Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu 39 sen sesaham.


Potensi pelupusan Winstar dan penyempurnaan penempatan persendirian dijangka menurunkan gearan bersih, sekali gus meletakkan kumpulan pada kedudukan kukuh melaksanakan projek. - DagangNews.com