Sunview berdepan cabaran jadikan hasil projek besar kepada margin untung mampan, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunview berdepan cabaran jadikan hasil projek besar kepada margin untung mampan, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 AprilSunview Group Berhad terus berdepan cabaran kritikal untuk 'menterjemahkan' hasil projek berskala besar yang diraih kepada margin keuntungan mampan, menurut MBSB Research.


Keadaan tersebut tambah firma penyelidikan berkenaan, turut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kualiti pendapatannya, walaupun prospek sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) masih kekal kukuh.


Berdasarkan kepada analisis semasa itu, ia terus mengekalkan saranan ‘jual’ ke atas saham syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) yang disemak kepada 32 sen daripada hanya 30 sen sebelum ini.


"Potensi sektor RE adalah kukuh disokong dasar kerajaan, tetapi prestasi keuntungan Sunview belum menunjukkan konsistensi selari dengan pertumbuhan buku tempahan," kata MBSB Research dalam nota.


Pada 3 April 2026, kumpulan berkenaan melalui konsortium bersama Cypark Resources Berhad meraih kontrak yang bernilai RM1.962 bilion bagi projek loji solar terapung berkapasiti 595MW di Terengganu.


Projek tender tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, yang lengkap dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Tasik Kenyir itu dianugerahkan sendiri oleh TNB Power Generation Sdn Bhd.

 

Artikel berkaitan: Cypark raih kontrak EPCC  RM1.96 bilion daripada TNB  Genco bagi projek solar terapung di Tasik Kenyir


Berdasarkan pegangan 40% dalam usaha sama itu, Sunview ujar MBSB Research, dijangka memperoleh bahagian kontrak sekitar RM784.8 juta, dengan projek dijadualkan siap menjelang 29 September 2028.


"Apabila siap kelak, projek melibatkan aspek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) berkenaan dijangka menjadi loji solar terapung terbesar di rantau Asia Tenggara," jelasnya.


Menurut firma berkenaan, kemenangan kontrak terbaharu ini meningkatkan buku tempahan terkumpul syarikat itu kepada kira-kira RM1.15 bilion, dan memberikan keterlihatan hasil sehingga dua tahun.


Bagaimanapun, MBSB Research menegaskan yang isu utama Sunview adalah kekal kepada tahap keupayaan syarikat tersebut menukar pertumbuhan hasil kepada keuntungan bersih yang lebih stabil.


Dari segi unjuran pula, anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2027 dinaikkan sebanyak 7.5% kepada RM10 juta, manakala TP ditetapkan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 20 kali.


"Ia adalah harga diskaun berbanding kebanyakan syarikat setara yang lebih besar dalam industri, di samping kami mengambil kira sumbangan daripada kontrak baharu itu," jelas firma tersebut. - DagangNews.com